PRK Sungai Bakap: Ketepikan Soal Sentimen, Utamakan Kebajikan Masyarakat Setempat

NIBONG TEBAL, 7 Julai – Para pengundi diseru untuk mengetepikan sentimen dibawa oleh pihak pembangkang dan mengutamakan kebajikan mereka sendiri dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau dapat melihat kesungguhan jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) bekerja dalam membantu memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) atas semangat perpaduan.

“Saya telah melakukan tinjauan dan mendapat taklimat daripada rakan-rakan BN. Kita lihat bahawa jentera bekerja dengan bersungguh-sungguh dan begitu kuat sekali. Tadi saya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Bakap dan kita dapat bertukar fikiran serta berjumpa beberapa pengundi di sana.

“Pertandingan ini pada saya sangat sengit dan ini bergantung kepada jumlah pengundi yang akan keluar. Walau bagaimanapun, kita sedaya upaya cuba untuk memberikan, merasionalkan mereka sebagai contohnya untuk isu diesel dan sebagainya.

“PRK Sungai Bakap ini merupakan satu tempat untuk mengukur sokongan rakyat kepada kerajaan atau sebaliknya. Bagi Perikatan Nasional (PN), ini merupakan kerusi yang sangat kritikal. Kalau mereka kalah, bermakna bahawa apa yang kerajaan lakukan adalah betul dan mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sekiranya calon Kerajaan Perpaduan diberikan peluang untuk mentadbir di kawasan Sungai Bakap ini, sudah semestinya ia akan menjadi satu harapan baharu kepada rakyat.

“Bagi Pakatan Harapan pula sekiranya mereka kalah, memang ini bukan kerusi mereka. Tapi kalau mereka menang, ini memberikan satu harapan yang baharu, bahawa Kerajaan Perpaduan dan inisiatif yang dibuat oleh Perdana Menteri serta barisan kabinet mendapat sokongan daripada rakyat.

“Rakyat pun sekarang ini dah pandai. Bukannya melihat hanya dalam masa dua atau tiga hari, tapi mereka melihat kesannya pada masa akan datang. Jadi, pada saya, ia sangat sengit dan ia sangat menarik untuk kita lihat apa kesudahannya.

“Kalau saya menjadi pengundi di Sungai Bakap, saya akan undi calon Kerajaan Perpaduan. Sebab pertama, kerajaan negeri adalah PH dan juga Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Malaysia pun adalah Kerajaan Perpaduan. Jadi, pada orang Sungai Bakap, ia lebih mudah. Mereka mempunyai peruntukan dan setiap daripadanya itu akan mengalir kepada penduduknya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa PRK kali ini tidak akan mengubah apa-apa kedudukan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kalau mereka mengundi calon PN, yang pertamanya mereka adalah pembangkang. Mereka (rakyat Sungai Bakap) telah merasai selama setahun lebih ini, dapat wakil rakyat daripada PN. Akhirnya mereka terpaksa pergi kepada PH, pergi kepada Ahli Parlimen, ataupun pergi kepada BN untuk mendapatkan bantuan.

“Jadi, sekiranya mereka mahukan kesenangan untuk kawasan mereka, mereka mesti undi calon Kerajaan Perpaduan. Kita lupakan soal sentimen sebab sama ada menang atau kalah, ia tidak akan menukar senario politik Malaysia. Kerajaan Perpaduan tetap menjadi kerajaan di negeri dan pusat,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kerjasama jentera BN-PH juga dilihat semakin utuh dan berharap agar Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan pada PRK kali ini.

“Kita daripada negeri-negeri lain ini hanya boleh membantu. Tetapi yang paling penting adalah jentera tempatan dan di peringkat negeri Pulau Pinang. Saya telah berjumpa sendiri dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir yang bekerja pagi, petang, siang dan malam bagi memastikan jentera dapat berjalan dengan tersusun.

“…kerana kita tahu bahawa UMNO ini berstruktur dari segi kerjanya. Tetapi kena ingat, kita ini hanya dapat membantu dan insya-Allah, saya cukup yakin bahawa kita telah pun mengalami beberapa PRK, kombinasi antara jentera BN-PH yang selalu dipertikaikan ini semakin hari, semakin baik. Insya-Allah, kita harap supaya Sungai Bakap ini menjadi ukuran dan kejayaan kepada kita,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan PN.

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.