Pilih Bersama Kerajaan Perpaduan, Ada Kuasa Baru Boleh Tolong Rakyat – Musa

NIBONG TEBAL, 4 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menegaskan bahawa rakyat hanya dapat dibantu sekiranya Kerajaan Perpaduan diberikan mandat dan kuasa melalui pilihan raya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam merayu agar pengundi di Sungai Bakap memilih calon Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

“Kenapa pilihan raya diadakan? Untuk mencari kuasa. Kalau baru-baru ini ada orang kata kita gila kuasa, memang kita gila kuasa. Ada kuasa baru boleh tolong rakyat. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan gila kuasa tapi dia gila kerja. Dia nak bekerja untuk rakyat. Nak bina, bangunkan rakyat. Kalau setakat bercakap nak membohong dan memfitnah tak perlulah.

“Saya minta pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) ini berilah peluang kepada Dr Joohari Ariffin, calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan. Kita berita kemenangan kepada beliau. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pusat adalah Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah beliau boleh bantu masyarakat di kawasan ini.

“Kita perlukan kuasa. Ada kuasa barulah kita boleh bantu rakyat. Kalau setakat datang nak jadi wakil rakyat kemudian rakyat minta tolong tak boleh nak selesaikan, apa manfaat jadi wakil rakyat? Mereka kata kita gila kuasa, tetapi kenapa mereka bertanding pilihan raya? Hanya untuk kepentingan sendiri bukannya untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Malam Kasih Bersama Pemimpin yang diadakan di PDM Sungai Kechil.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan yang cemerlang pada PRK ini untuk membolehkan Kerajaan Perpaduan terus membantu rakyat.

“Saya berjanji sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang … kalau calon Kerajaan Perpaduan menang dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebaiknya, kita hukum beliau.

“Jangan kita fikir pasal isu. Kalau nak selesai isu tiada kuasa, macam mana nak selesaikannya? Kalau setakat datang nak bercakap bohong… tiada kuasa tak boleh bantu juga.

“Saya merayu kepada seluruh pengundi di PDM ini, berilah peluang kepada calon satu, Cikgu Joohari Ariffin pada PRK kali ini. Insya-Allah calon kita akan mendapat kemenangan. Saya nak PDM ini jadi ‘putih’ dan menang dengan cemerlangnya,” katanya lagi.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Nibong Tebal.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.