Menangkan Calon Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid Ikrar Kembali Ke Sungai Bakap Bantu Pembangunan

NIBONG TEBAL, 4 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk datang semula ke Sungai Bakap bagi membawa pembangunan sekiranya calon Kerajaan Perpaduan diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan untuk PRK ini amat penting bagi memberi imej baik terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Lepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berlaku kekosongan kerusi Parlimen Padang Serai. Pada ketika itu kami (BN-PH) baru nak berkawan. PH letak calon, BN juga mahu ketengahkan calon. Tetapi, saya minta calon BN tarik diri. Itulah pertama kali saya berada satu pentas dengan PH. Dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal kerana sekarang kita berada dalam satu pasukan, Kerajaan Perpaduan.

“Ketika itu kita tolong mereka. Selepas itu, pilihan raya di tempat lain pula mereka tolong calon kita. Kebetulan bertanding calon Dap di Kuala Kubu Bharu. Kita tolong. Begitu juga di Sungai Bakap. Ini semua kerja Allah. Dulu mereka tolong kita, sekarang ini walaupun calonnya adalah daripada PH, tetapi UMNO/BN tetap mengatakan calon ini adalah wakil drpd Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

“Tentu ada sebab kenapa saya sendiri turun pada malam tadi dan malam ini. Ini kerana kemenangan calon Kerajaan Perpaduan adalah sangat penting kepada Kerajaan Madani … kerana kemenangan calon PH adalah kemenangan buat BN juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Malam Kasih Bersama Pemimpin yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kechil, pada Rabu.

Menurutnya, beliau yakin sekiranya calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin menang pada PRK ini, kesinambungan pembangunan akan dapat dibawa ke Sungai Bakap.

“…kerana kita lihat dengan kemenangan Cikgu Joohari di Sungai Bakap ini, saya yakin beliau akan dapat membawa pembangunan lebih baik berbanding calon nombor dua. Ini kerana kerajaan di Pulau Pinang adalah Kerajaan Perpaduan. Kalau Cikgu Joohari kita pilih, banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sungai Bakap ini.

“Umpamanya pusat aktiviti warga emas, saya ingin cadangkan agar ia dibawa segera di Sungai Bakap supaya mereka ini dapat dibantu. Kedua, saya juga ingin mencadangkan sekolah tamil dibina bagi memenuhi permintaan masyarakat India. Insya-Allah semua ini akan dapat dilaksanakan jika cikgu Joohari dapat jadi ADUN Sungai Bakap.

“Saya berazam jika pengundi Sungai Bakap memberi kemenangan kepada Cikgu Joohari, saya akan datang semula dan bantu beliau bawa pembangunan. Apa yang saya maksudkan di sini ialah apabila ADUN kita dalam kerajaan sealiran di Pulau Pinang dan persekutuan, tentu rakyat Sungai Bakap akan peroleh banyak faedah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengemudi Sungai Bakap dan mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

“Insya-Allah saya selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah … dan Sungai Bakap ini termasuk kawasan luar bandar. Saya akan bantu Cikgu Joohari bangunkan Sungai Bakap. Ini bukan janji pilihan raya. Ini azam dan tekad saya. Tambahan pula, UMNO akan hadapi PRK di DUN Nenggiri. Kalau saya bantu calon PKR di Sungai Bakap ini, sudah semestinya mereka akan membantu UMNO di Nenggiri.

“Cikgu Joohari adalah calon Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh UMNO/BN. Oleh sebab itu, kita kena pilih calon nombor satu pada Sabtu. Diletakkan harapan kepada tuan-tuan dan puan-puan walaupun tidak semua rakyat Sungai Bakap ada disini, jentera UMNO/BN telah bertungkus lumus dan bersungguh-sungguh untuk memenangkan Cikgu Joohari.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Musa Sheikh Fadzir yang menjadi Pengarah pilihan Raya DUN Sungai Bakap ini. Kami tidak hanya memobilisasikan jentera UMNO Pulau Pinang tetapi dari negeri-negeri lain untuk datang membantu,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit