Kerajaan Perlu Penguatkuasaan Lebih Tegas Kekang Dadah NPS – Adnan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berharap kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri mengambil perhatian dengan bahan psikoaktif (NPS) atau ‘dadah ciptaan’ yang dilihat semakin popular penggunaannya.

Beliau berkata penguatkuasaan tegas perlu dilakukan khususnya untuk mencari jalan penyelesaian agar dadah NPS ini tidak akan menjadi punca kegagalan kepada segala usaha dan kerja keras kerajaan untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di Malaysia.

“Kita perlu beri perhatian yang lebih kepada kemunculan dadah jenis NPS yang semakin banyak disalah gunakan.

“Penyalahgunaan dadah NPS juga tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing walaupun berfungsi memberi kesan hayal sama seperti dadah konvensional.

“Dadah NPS ini turut menjadi cabaran kepada usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam negara kerana dadah yang dihasilkan melalui campuran bahan kimia gantian setakat ini masih belum digazetkan di bawah mana-mana akta dadah dan menyebabkan tindakan sewajarnya tidak dapat diambil di bawah undang-undang dadah sedia ada,” katanya.

Adnan berkata demikian pada Perbahasan RUU Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) (Pindaan) 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod NPS merujuk kepada dadah yang belum dikawal di bawah undang-undang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNOCD), NPS menjadi fenomena global dengan 141 negara dan wilayah dari semua rantau di dunia ini melaporkan satu atau lebih NPS.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah dalam pada itu turut menyambut baik pindaan seksyen ini yang memberikan Pegawai Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kuasa untuk membuat perakuan penyalahgunaan dadah seterusnya menentukan rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.

Sebelum ini, perakuan penagih dadah dilaksanakan oleh pegawai perubatan kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar kemudian barulah pegawai pemulihan AADK akan membuat penentuan rawatan dan pemulihan.

Bagaimanapun beliau berkata untuk memastikan proses rawatan dan pemulihan berkesan, kerajaan perlu memastikan pegawai-pegawai Pemulihan AADK yang diberi tanggungjawab ini mempunyai kemahiran dan kepakaran yang cukup.

“Kuala Pilah yakin pindaan ini akan memudahkan dan mempercepatkan usaha pemulihan dan rawatan penyalah guna dana dan bahan tanpa perlu melalui pelbagai karenah birokrasi. Namun agak merisaukan apabila tugas untuk mendiagnos ketagihan dadah yang selama ini dilaksanakan oleh seorang pegawai perubatan akan beralih kepada seorang pegawai sosial.

“Kerajaan juga boleh menggalakkan graduan perubatan yang tidak berjaya menamatkan tempoh latihan atau housemanship untuk mengisi jawatan ini kerana sekurang-kurangnya mereka mempunyai latar belakang perubatan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.