Kempen ‘Selamatkan Langkawi’ Digerakkan, Dedah Kelemahan Pentadbiran Kerajaan Negeri Dan Wakil Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Kempen Selamatkan Langkawi akan digerakkan penerangan UMNO bahagian bagi memberi pendedahan terhadap rakyat tentang pengabaian dilakukan kerajaan negeri dan wakil rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ia dilakukan kerana melihat Langkawi seakan tiada tarikan baharu yang mampu menarik pelancong, sekaligus turut sama menjejas pendapatan penduduk sekitar.
“Suasana di Langkawi ini semakin hari semakin suram ramai orang tak datang ke sini, zaman kita jadi kerajaan perkara ini sama sekali kita tak benarkan berlaku. Apabila orang lain ambil alih kerajaan negeri saya tengok semakin berbeza ini jadi disebabkan kelemahan pentadbiran polisi yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Kedah yang ada sekarang.
“Kita memulakan kempen melalui media iaitu ‘Selamatkan Langkawi’ kerana tak mahu Langkawi kehilangan punca pendapatan kerana saya tahu banyak di antara penduduk bergantung kepada pelancong yang datang ke sini setiap minggu.
“Saya yakin dan percaya pelbagai peringkat umur ada akaun media sosial. Jadi kena mula berkongsi kempen untuk ‘Selamatkan Langkawi’ kalau tak mampu nak buat konten pun kena bawa agenda-agenda pembangunan kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ke UMNO Bahagian Langkawi, yang berlangsung semalam. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman; Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan kepimpinan bahagian.
Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata kempen ini digerakkan bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap isu-isu berbangkit di Langkawi yang tidak dihiraukan oleh kerajaan negeri termasuk terbaharu isu air.
Menurut beliau tingkah laku Ahli Parlimen, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang tidak turun padang juga sesuatu yang melukakan hati rakyat, malah sering menyalahkan kerajaan Persekutuan perihal kebersihan di pantai meskipun tanggungjawab tersebut adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita ada peluang nak menggerakkan kempen ini dan masa yang sama mengubah landskap politik sebab parti pembangkang ada liability yang pertamanya apabila Langkawi ada ahli Parlimen yang sama sekali tidak bekerja.
“Jarang balik kawasan lebih menjadi penghibur bercerita seluar pendek, pantai yang kotor walaupun itu bukan tanggungjawab kerajaan Pusat tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri… dia tersilap tembak tapi terkena kaki sendiri.
“Manakala menteri besar semua dia tipu contohnya projek berjuta-juta di Pantai Cenang, lapangan terbang dan yang terbaharu masalah air. Langkawi tak pernah mengalami masalah air tapi tiba-tiba pada tahun ini terkena dengan masalah ayat yang sangat kronik dan juga sangat serius,” ujar beliau. – UMNO Online