Wanita UMNO Terus Gerak Kerja, Rangka Strategi Terbaik Demi Perjuangan Kepada Agama Dan Bangsa
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Wanita UMNO Malaysia terus melaksanakan gerak kerja bersepadu dalam memperkukuhkan parti keramat ini demi perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.
Dalam mendepani itu, Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melaksanakan Mesyuarat Khas Exco Wanita UMNO Malaysia bersama dengan kepimpinan tertinggi dalam merangka strategi terbaik bagi pelaksanaan di semua peringkat.
“Semoga Wanita UMNO Malaysia akan terus istiqamah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Usai bermesyuarat, mereka berkesempatan bersama dengan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pelbagai perbincangan termasuk isu-isu semasa melibatkan rakyat dan wanita.
Turut hadir bersama Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Datuk Mohd Razlan Rafii.
Sementara itu menerusi hantaran Facebook terdahulu, Noraini berkongsi kehadirannya ke Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Temerloh yang diadakan di Dewan Sri Mentakab, Temerloh, Pahang, pada Ahad.
Walaupun hujan lebat namun ia tidak mematahkan semangat wanita bahagian dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepad parti keramat ini.
Noraini pada ucapannya turut menyentuh berkenaan perjuangan ahli parti yang bukan berpaksi kepada usaha individu sahaja tetapi ia menjadi tanggungjawab kepada semua ahli untuk sama-sama mengembalikan maruah perjuangan sebenar parti demi masa depan yang lebih gemilang.
“Keterlibatan Wanita UMNO adalah sangat penting di semua peringkat untuk memastikan UMNO kekal relevan kerana Wanita UMNO adalah jentera yang paling hadapan dalam menentukan kekuatan parti,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Juhanis Abd Aziz dan seluruh barisan kepimpinan di atas komitmen dan kejayaan mengadakan mesyuarat bagi tahun ini.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang, Norhasmimi Abdul Ghani; Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli dan kepimpinan bahagian yang lain. – UMNO Online