UMNO Sebagai Parti Melayu Terbesar Perlu Bangkit, Kerja Keras Kembali Tarik Sokongan – Lokman

PADANG RENGAS, 3 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata UMNO sebagai parti Melayu terbesar di negara ini perlu bangkit dan bekerja keras untuk kembali kukuh.

Menurut beliau ia penting sebagai usaha untuk menarik keyakinan orang Melayu menyokong UMNO, sekaligus berupaya meneruskan lagi perjuangan UMNO membela agama, bangsa dan negara.

“Itu sebabnya kalau kita nak UMNO ni kuat balik… hari ni, kita kena berhempas pulas kerja pagi, petang, siang dan malam.

“Ini semua adalah untuk pastikan UMNO kuat balik dan teruskan perjuangan,” katanya ketika berucap dalam Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di sini pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Arrif Abd Majid dan kepimpinan bahagian.

Lokman dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan kerjasama yang dijalin UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Katanya dalam landskap pilihan raya, kerjasama yang dijalin perlu juga dinilai mengikut kerusi yang boleh ditandingi UMNO/BN.

“Bila nak fikir tentang siapa kita nak berkawan dengan siapa nak bentuk kerajaan, kena tengok dengan siapa kita ada masa depan.

“Kerusi yang Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi…. ini semua kerusi UMNO kalau kita kerjasama dengan PN… 74 kerusi ini boleh tak UMNO bertanding? Tak boleh, tak boleh sentuh. Jadinya kalau kita bersama PN maka masa depan UMNO malap,” ujar beliau.

Terdahulu Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia telah berlangsung dengan jaya di UMNO Bahagian Padang Rengas setelah menyaksikan ia diadakan di beberapa bahagian di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Program jelajah ini dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit