Sudah Tiba Masanya RUU Audit Dipinda – Ahli Parlimen Tenggara
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata sudah tiba masanya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Audit dibuat setelah sekian lama tidak dipinda.
Katanya kali pertama dipinda pada 1978 manakala kali kedua pada 1991 (33 tahun) dan sudah pasti RUU perlu diberi nafas baharu selari dengan peredaran masa.
“Pindaan ini bertepatan serta selaras dengan usaha Kerajaan MADANI sekaligus dapat menambah baik serta memperkukuh tatakelola dan akauntabiliti sektor awam yang akan membolehkan pengawasan dana awam dijalankan dengan efektif bagi mengelakkan ketirisan wang awam yang merugikan negara.
“Difahamkan pindaan ini melibatkan pewujudan peruntukan baharu serta pindaan beberapa peruntukan sedia ada yang bertujuan memperkasakan Institusi Audit Negara. Pindaan Akta 62 beri kuasa baharu, mandat serta perluasan tugas Ketua Audit bagi memeriksa dan menyiasat serta mengaudit akaun mana-mana badan lain sekaligus akan tambah baik aspek perjalanan pengauditan.
“Ianya jelas dalam pindaan Seksyen 5(1)(d) Akta Audit yang memperuntukkan kuasa mengaudit badan lain termasuk syarikat didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta777) di mana Kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan kerajaan Persekutuan atau negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Audit 1957 (Akta 62) (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya melihat pindaan berkenaan adalah menyeluruh serta saling melengkapi.
“Apabila takrifan “Jaminan Kewangan” itu selari seperti ditakrifkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta850), berdasarkan Subseksyen 14(1) AktaTatacara Kewangan 1957 (Akta 61), Seksyen2 Akta Jaminan Pinjaman 1972 (Akta 66), Subseksyen 2(1) Akta Jaminan Pinjaman(Pertubuhan Perbadanan) 1965 (Akta 96) dan Seksyen 2 Akta Jaminan Pinjaman 1963 (Akta 412).
“Pindaan di bawah Seksyen 5(1)(d) Akta 62 turut memperuntukan pengauditan melalui pendekatan ‘follow the public money audit‘ tertakluk kepada Kementerian Kewangan atas dasar kepentingan awam.
“Tindakan ini bertepatan kerana nilai integriti dilihat semakin pudar di kalangan segelintir syarikat yang dipertanggungjawabkan membantu kerajaan menerusi penyaluran dana atau bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Ujar beliau lagi sebelum ini kerajaan memperkenalkan pelbagai dana, pinjaman serta bantuan kewangan dan sebagainya lagi bertujuan untuk membantu rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
“Namun apa yang terjadi? Wujud golongan individu atau syarikat mahupun pertubuhan yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas hak dan kesengsaraan rakyat yang terkesan dengan membuat tuntutan-tuntutan palsu bagi memperoleh dana-dana yang disediakan untuk kekayaan sendiri tanpa memikirkan nasib mereka atau golongan sasar yang memerlukan perhatian serta bantuan.
“Risiko berlaku penipuan wujud dalam mana-mana organisasi. Kita dihidangkan dengan kes penipuan dan amalan rasuah yang tidak henti-henti malah kebanyakan kes ini mempunyai kaitan dengan perolehan kerajaan pelbagai peringkat, persekutuan serta negeri walaupun pelbagai langkah diambil untuk mencegahnya.
“Saya yakin pindaan ini dapat memperbaiki dan memperkukuh tatakelola memperluaskan skop audit dengan memasukkan entiti yang menerima jaminan kewangan kerajaan memastikan pengesanan serta pengauditan menyeluruh terhadap wang awam untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti,” tambahnya. – UMNO Online