PRK Sungai Bakap: Rakyat Kini Semakin Matang Pilih Pemimpin Berpendidikan, Pengalaman – Azhar

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Rakyat kini semakin matang untuk memilih pemimpin yang mempunyai perwatakan disenangi ramai, di samping latar belakang merangkumi pendidikan dan pengalaman dalam membawa aspirasi rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Beliau berkata demikian rentetan kenyataan daripada Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang berkata bahawa kelayakan akademik tidak boleh dijadikan pengukur kelayakan sebagai pemimpin politik, bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Membidas perkara tersebut Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata, elemen keilmuan memainkan peranan penting dalam mencorak keperibadiaan individu apatah lagi bercakap dalam konteks kepimpinan dalam politik.

“Itu semua alasan sahaja sekarang ini bukannya diletakkan syarat menjadi seorang menteri mesti ada doktor falsafah. ‘Karton’ lah untuk menjadi pemimpin hanya ada SRP, SPM tetapi itu tidak menghalang untuk menjadi pemimpin.

“Rakyat nak melihat tokoh-tokoh muda ada ilmu kualiti dalam pendidikan, berkelayakan. Apa beza orang yang ada pelajaran dengan tak ada? Tentu banyak dari segi percakapan, ilmu, cuma ia perlu diadaptasi dengan keadaan hidup suasana masa kini di samping ada pengalaman, budi pekerti.

“Maki hamun orang ini menunjukkan individu itu punya ilmu atau tak ada ilmu. Penting untuk pemimpin ada pelajaran yang sesuai pada tuntutan masa hari ini sehinggakan anak-anak kita pun sekarang paling kurang ada diploma, ada ijazah sarjana muda dan sarjana.

“Masyarakat Malaysia semua dah ada pelajaran tiba-tiba pemimpin kita tak ada kelayakan pendidikan maka penghormatan kepada dia saya rasa kurang daripada orang yang punyai pendidikan,” katanya ketika ditemui UMNO Online, baru-baru ini.

Azhar dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan PRK Sungai Bakap, menurut beliau calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang merupakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara mempunyai profil meyakinkan berbanding calon yang mewakili parti pembangkang.

“Membandingkan dua tokoh yang berada di Sungai Bakap, kita lihat gaya pertuturannya itu melambangkan budi bahasa tingkah dan daya intelektual. Jadi, itu sudah nampak rakyat boleh membezakan di antara mereka berdua saya merasakan calon daripada PH lebih wibawa.

“Sekarang pemimpin mesti boleh bantu rakyat secara bersungguh-sungguh, bukan berseronok menjadi wakil rakyat bercakap itu dan ini, bercakap di Parlimen memberantakkan, menjerit. Tidak, pemimpin hari ini mesti bantu rakyat dalam kawasan yang diwakili,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit