PRK Sungai Bakap: Pembangkang Tidak Boleh Berbuat Apa-Apa… Undilah Kerajaan Perpaduan – Ahmad Maslan

NIBONG TEBAL, 3 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan rakyat untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana pembangkang sudah semestinya tidak mampu untuk menjaga kebajikan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, adalah penting untuk para jentera bekerja sehabis baik pada hari-hari terakhir berkempen ini dan bertemu dengan seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

“Pada hari-hari yang terakhir begini kita perlu berjumpa dengan seberapa ramai pengundi. Adalah penting untuk kita bergerak bersama jentera UMNO dan Perpaduan… termasuklah jentera angkat negeri dan angkat bahagian. Setelah kita tandakan tempat-tempat yang telah dilawati, mana lagi yang belum kita kunjungi.

“Mudah sahaja untuk kita nyatakan kepada pengundi, jika kita mengundi calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin, ada di belakang kita adalah kerajaan negeri dan pusat. Jika mengundi calon nombor dua, tidak ada sesiapa di belakang yang boleh membantu.

“Jika kita berada dalam kesukaran dan ingin memohon apa yang kita hasratkan, elok kita bersama dengan kerajaan daripada bersama pembangkang. Pembangkang tidak akan boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak boleh mengubah kerajaan negeri ini dan kerajaan negeri telah pun ditubuhkan,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, hanya dengan memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan sudah pastinya kebajikan rakyat di Sungai Bakap akan terjaga dan segala permasalahan bakal dapat diselesaikan dengan tuntas.

“Oleh itu, rugi sangat sekiranya kita mengundi pembangkang kerana kerajaan sudah ditubuhkan. Lainlah kalau kita nak memilih ketika kerajaan belum lagi terbentuk. Itu satu perkara yang berbeza. Sekarang ini kerajaan sudah ada.

“Apabila kerajaan sudah ada, sudah tentulah kerajaan itu yang boleh memberikan pertolongan kepada kita, anak-anak dan masyarakat dalam menyelesaikan segala permasalahan dihadapi,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit