Masalah Rakyat PDM Kampung Besar Berjaya Selesai Dalam Tempoh Kempen PRK Sg Bakap

NIBONG TEBAL, 3 Julai – Terdapat beberapa masalah rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Besar telah berjaya diselesaikan dalam tempoh berkempen dengan bantuan pucuk pimpinan parti dan juga menteri-menteri, kata Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said

Jelasnya, kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berjalan dengan baik sehinggakan terbinanya satu ikatan kukuh bersama masyarakat setempat dan ia mula menampakkan hasilnya.

“Alhamdulilah menjelang hari pengundian yang cuma tinggal tiga hari saja lagi. Kempen PRK Sungai Bakap untuk PDM Kampung Besar ini berjalan dengan cukup baik. Kerjasama di antara UMNO Negeri Perak selaku negeri angkat dan UMNO Bahagian Permatang Pauh selaku bahagian angkat yang menumpukan 100 peratus kepada usaha untuk memenangkan PDM Kampung Besar ini telah mula menampakkan hasilnya.

“Sambutan yang diberikan masyarakat kampung di awal kehadiran kami di sini dengan saat ini begitu jauh berbeza sekali. Nampak adanya kemesraan, hubungan persaudaraan dan kita telah membina ikatan yang kukuh bersama masyarakat kampung.

“Insya-Allah saya yakin bahawa masyarakat di PDM Kampung Besar ini akan menterjemahkannya dalam peti undi pada 6 Julai nanti,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, mereka menggunakan kaedah mendekati pengundi dengan pergi rumah ke rumah dan mengadakan program berskala kecil untuk mendengar segala isi hati masyarakat.

“Gerak kerja yang kita jalankan langsung tidak melibatkan ceramah secara besar-besaran mahupun berkelompok, tetapi kita lebih cenderung mendekati para pengundi dari rumah ke rumah, mengadakan program berskala kecil untuk memperkukuhkan silaturahim sesama kami.

“Daripada program-program yang kita laksanakan inilah kita dapat mendengar segala keluhan masyarakat … mendengar apa yang mereka suarakan kepada kita, segala rintihan, ketidakpuasan hati dan sebagainya. Ada di antaranya telah berjaya kita selesaikan dengan bantuan daripada pucuk pimpinan kita terutamanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kita kasihi.

“Begitu juga dengan menteri-menteri yang turun ke PDM Kampung Besar ini telah menyelesaikan banyak isu dan rungutan oleh masyarakat dalam kampung ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan rakyat di Sungai Bakap untuk memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri dan persekutuan agar segala masalah dapat ditangani sebaiknya.

“Alhamdulilah, saya bersama UMNO Negeri Perak amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan dan sangat berpuas hati juga kerana telah berjaya membantu menyelesaikan banyak masalah yang ada di PDM Kampung Besar ini.

“Mudah-mudahan masyarakat Kampung Besar ini menghargai dan menyedari bahawa sesungguhnya kita memerlukan seorang wakil rakyat sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini untuk memastikan kesinambungan pembangunan di Sungai Bakap terutamanya di PDM Kampung Besar ini akan dilaksanakan selepas ini,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit