Kerjasama Malaysia – China Wujudkan Tenaga Kerja Mahir – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengambil peluang meneroka peluang kerjasama di antara Malaysia dan China sepanjang lawatannya ke sana baru-baru ini.

Menurut beliau, lawatan ke China terutamanya dalam bidang pendidikan dengan tumpuan kepada Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal, kesalinghubungan serta hubungan sesama rakyat adalah berjaya.

“Bidang pendidikan terutamanya TVET merupakan topik utama yang telah dibincangkan semasa lawatan ini. Kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkatkan usaha sedia ada dalam meneroka peluang kerjasama bagi mewujudkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi.

“Institusi TVET negara China menawarkan sebanyak 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET. Malaysia juga bercadang terus menghantar lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar ke China terutamanya ke Majlis Latihan Vokasional Hong Kong yang merupakan institusi terbesar dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional dan profesional.

“Kedua-dua pihak juga telah bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama termasuklah bidang teknologi tinggi, tenaga yang boleh diperbaharui, ekonomi digital dan semikonduktor,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan dari Tan Kok Wai (PH- Cheras) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan hasil lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis berkata, Malaysia juga bercadang untuk terus menghantar lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar ke China terutamanya ke Majlis Latihan Vokasional Hong Kong yang merupakan institusi terbesar dalam bidang pendidikan dan latihan vokasional dan profesional.

“Semasa lawatan ke Shenzhen dan Shanghai, Timbalan Perdana Menteri telah menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU), memorandum persetujuan (MoA) dan Surat Niat (LoI).

“Ini termasuk MoU antara Universiti Kuala Lumpur dan Huawei, MoU antara SKS Coach Builders Sdn. Bhd. dan Zhejiang CRRC Electric Vehicle Co. Ltd. dan MoA antara MARA Liner Sdn Bhd. dan SKS Coach Builders Sdn Bhd,” katanya lagi.

Ujarnya, Timbalan Perdana Menteri juga telah menyaksikan Majlis Menandatangani LoI antara MARA Corporation Sdn Bhd dan China Electrical Equipment (CEE) International Company Limited.

Mengulas lanjut kata Mohamad lagi, kerjasama ini penting bagi terus merancakkan hubungan pelaburan dan perdagangan yang sangat memuaskan.

“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama lima belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009, dan menyumbang sebanyak 17 peratus perdagangan global negara.

“Timbalan Perdana Menteri turut menggalakkan pihak China untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama yang sedia ada di dalam sektor ekonomi dan sosial seperti projek-projek utama Malaysia dan China termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ‘Two Countries, Twin Parks’ dan lain-lain projek.

“Timbalan Perdana Menteri mengambil peluang memaklumkan tentang industri halal global yang bernilai USD3.1 trillion pada tahun 2018 yang berkembang sebanyak 4.1 peratus setiap tahun dan dijangka mencapai USD5 trillion pada 2030. Premier Li Qiang menyambut baik usaha Malaysia dan menzahirkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam bidang pensijilan, perkhidmatan dan produk halal,” jelas beliau.

Pada masa yang sama kata Mohamad lagi, kedua-dua pihak turut membincangkan isu pengecualian visa selama 30 hari kepada pengembara dari Malaysia.

“Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan hasrat dan harapan agar China juga memberikan pengecualian visa selama 30 hari kepada pengembara Malaysia, sama seperti yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada pengembara China,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.