Kedudukan Islam Akan Terus Kukuh Di Bawah Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

NIBONG TEBAL, 3 Julai – Kedudukan Melayu dan Islam akan terus kukuh di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan agama Islam seperti program pra tahfiz yang telah dilancarkan.

“Jika ada di kalangan pemimpin masyarakat apatah lagi tokoh-tokoh politik yang mengatakan Islam dan Melayu terancam, bukti diperlihatkan melalui KEMAS yang membuktikan Islam akan terus kukuh bawah Kerajaan Madani.

“Malah jika dikata juga kononnya rakan-rakan kita dalam komponen Kerajaan Perpaduan mahu menentang apa saja program Islam dan Melayu, ini terbukti mereka turut memberikan sokongan agar agenda Melayu dilaksanakan.

“Saya ingin memberi saranan kepada ibu bapa untuk terus ajak anak-anak, dukung program Tabika KEMAS. Selain daripada pra tahfiz dengan penghafalan Juz Amma, mereka juga diberi pendidikan untuk menghafal ayat-ayat yang menjadi amalan biasa seperti ayat Kursi, surah Yasin, al-Kahfi… dan banyak lagi surah-surah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Perda, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ibu bapa dan juga guru-guru yang hadir pada program tersebut untuk memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Ini memperlihatkan kerajaan sangat komited melalui KEMAS untuk melaksanakan program ini di seluruh negara. Ini merupakan program serampang dua mata. Untuk itu, guru-guru telah diberi pendedahan mengenai pendidikan awal dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Mudah-mudahan kita akan dapat barakah daripada Allah SWT dan kita juga mohon agar Allah melindungi Kerajaan Perpaduan.

“Di Sungai Bakap ini sedang berlaku PRK. Saya harap ibu bapa dapat memberikan sokongan dan dukungan kepada Dr Joohari Ariffin supaya menang pada PRK ini. Kita harap Dr Joohari akan memberi kesinambungan perkhidmatan kerajaan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol.

“Saya tahu bahawa dalam zaman kempen yang sedang berlaku banyak tohmahan, fitnah dan mehnah. Saya harap ibu bapa dapat istiqamah bersama saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lahir di Sungai Bakap ini untuk terus menjadi pemimpin kita,” katanya lagi.

Turut hadir ke program tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi GiatMARA, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi PERDA, Datuk Shaik Hussein Mydin dan seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Nibong Tebal. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.