Program Ziarah Kasih UMNO Papar Berterusan, Cakna Kesulitan Rakyat

PAPAR, 2 Julai – Pelbagai kesulitan yang dihadapai oleh masyarakat setempat mengundang UMNO untuk meneruskan khidmat bakti menyantuni mereka agar kesusahan dapat dibantu.

Hal tersebut direalitikan oleh UMNO Bahagian Papar yang sentiasa mengaktifkan gerak kerja turun padang dan usaha memastikan nasib rakyat sentiasa terbela.

Ketuanya, Datuk Jamal Nerubi berkata, biarpun pelbagai kekangan dihadapi oleh parti namun usaha kepimpinan UMNO dalam meastikan rakyat mendapat kehidupan yang selesa tidak pernah terhenti.

“Program Ziarah Kasih UMNO Papar adalah gerak kerja tetap yang dilaksana bagi mendekati dan membantu rakyat yang memerlukan, di samping meneliti masalah serta menyelami keadaan yang dihadapi mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Jamal, baru-baru ini program tersebut telah digerakkan dengan menziarahi sebuah keluarga di Kampung Sri Tanjung Pengalat Kecil berikutan musibah kebakaran yang menimpa mereka.

“Kami telah mengunjungi keluarga Idul Saha Gulamsim apabila kediamannya musnah dalam satu kebakaran di sini. Dengan adanya sumbangan ini moga dapatlah membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.

“Usaha ini adalah satu daripada tanggungjawab UMNO Bahagian Papar yang sentiasa prihatin dan cakna dengan keperitan rakyat,” katanya.

Maklum beliau, turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal serta ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Papar.

Dilaporkan, ekoran daripada kunjungan tersebut pihak GiatMARA telah mengambil tindakan segera dan hasilnya bantuan sebuah rumah PPRT diusahakan untuk keluarga tersebut.

“UMNO adalah parti yang cakna, menjadi mata dan telinga juga jambatan antara kerajaan dan rakyat. Kita salurkan maklumat berkaitan rakyat kepada pihak berwajib dan seterusnya bantuan akan menyusul kerana Kerajaan Perpaduan juga mahukan rakyat hidup dengan sejahtera.”

Justeru tegas Jamal, sebagaimana yang dilaksana UMNO terbukti bahawa UMNO bukan parti bermusim sebaliknya langkah dilaksana selari dengan keperluan rakyat

“UMNO Bahagian Papar proaktif dalam hal-hal berkaitan kemaslahatan rakyat malah fokusnya adalah selari dengan agenda parti iaitu bersatu, bersetia dan berkhidmat dilaksana sentiasa.

“Kita mendukung perjuangan cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Lantaran itulah, kebajikan dan keselesaan rakyat termaktub dalam tekad kita dengan berkhidmat dan turun padang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.