PRK Sungai Bakap: Rakyat Boleh Menilai Untuk Pilih Yang Terbaik – Musa

NIBONG TEBAL, 2 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir yakin bahawa para pengundi boleh menilai dengan baik untuk memilih wakil rakyat mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, gerak kerja para jentera telah dimulakan sebelum proses penamaan calon dan ia mendapat sambutan lebih baik daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Alhamdulillah, nampaknya jentera-jentera Barisan Nasional (BN) sudah bergerak sebelum daripada penamaan calon lagi. Tapi kita buat full swing. Insya-Allah kita akan teruskan sehingga 6 Julai ini. Saya lihat ada yang pergi rumah ke rumah, edar risalah dan ada yang anjurkan ceramah berskala kecil.

“Nampak sambutan pada kali ini lebih baik daripada PRU ke-15 yang lalu. Namun, saya tidak mahu terlalu yakin. Kita bekerjalah sehingga 6 Julai ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, para pengundi di Sungai Bakap perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan agar kebajikan mereka terpelihara.

“Adakah dia (Perikatan Nasional) boleh ubah kalau kerajaan negeri dan persekutuan adalah daripada Kerajaan Perpaduan? Nak ubah macam mana? Bagi saya, pengundi di Sungai Bakap ini, boleh menilai. Jadi, kalau mereka nak jaga kebajikan mereka, nak ubah Sungai Bakap ini maka mereka kena pilih calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Itu yang lebih mustahak … untuk kepentingan mereka sendiri. Memang kita tahu ada masalah di Sungai Bakap ini seperti masalah air dan lain-lain. Insya-Allah kita akan pastikan perkara ini selesai. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow cakap beri masa tiga tahun untuk selesaikan semua masalah. Kita (BN) akan pastikan bahawa sekiranya calon daripada Kerajaan Perpaduan ini menang, apa yang dijanjikan sepanjang tempoh berkempen ditunaikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru para jentera untuk berkempen secara berhemah dan berharap agar rakyat memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir kawasan Sungai Bakap.

“Saya nak seru para jentera, kita berkempenlah secara berhemah. Kita jangan caci-mencaci, jatuh-menjatuh. Untuk pengundi di Sungai Bakap, orang luar akan balik lepas 6 Julai ini dan mereka akan tetap tinggal sini. Masyarakat akan nampak. Mereka akan pergi masjid, surau dan kenduri bersama. Jadi, kempenlah secara berhemah. Pilihan raya ini sekali-sekala, masyarakat akan tinggal lama di sini.

“Jadi, berilah peluang kepada calon daripada Kerajaan Perpaduan. Saya percaya Insya-Allah calon kita Dr Joohari Ariffin ini, kita lihat daripada peribadinya sendiri. Beliau tak pernah kutuk orang. Beliau cakap apa beliau nak buat dan sentiasa merendah diri. Berilah peluang kepada beliau. Saya percaya beliau akan dapat bantu rakyat di Sungai Bakap ini,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.