PRK Sungai Bakap: Kempen Tunjuk Tanda Positif, Rakyat Pilih Kerajaan Perpaduan – Reezal Merican

NIBONG TEBAL, 2 Julai – Kempen minggu pertama Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menunjukkan tanda positif dari segi sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, gerak kerja bertemu pengundi yang dilakukan dari rumah ke rumah memberi kesan apabila segala penerangan dapat dilakukan secara bertentang mata dengan rakyat.

“Dari segi perubahan dan keadaan yang saya lihat, kita nampak bahawa ada petanda positif apabila kita mula bertemu dengan kumpulan-kumpulan kecil, kita dapat menyentuh hati mereka dan memberi pemahaman yang lebih dapat ‘lekat’ dalam kepala serta hati mereka tentang peri pentingnya Sungai Duri kembali ke pangkuan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam kesemua lapan peti undi, inilah peti undi yang paling banyak kita kalah. Tetapi saya sebagai bapa angkat diberi tanggungjawab, jadi i am determined to make a turn around. Insya-Allah. We will deliver Sungai Duri kembali ke pangkuan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, adalah penting untuk memilih wakil rakyat yang sealiran dengan kerajaan negeri dan persekutuan kerana segala urusan mahupun masalah masyarakat setempat dapat diselesaikan dengan mudah.

“Ada orang buat fitnah macam-macam. Tetapi, saya berkempen secara berhemah sebab yang bertanding dengan kita itu (Perikatan Nasional) adalah seagama dengan kita. Boleh tanya dengan sesiapa yang saya pernah bertemu kerana kadang-kadang kita kena takut juga dengan Allah SWT. Ini adalah ijtihad isu politik sahaja.

“Tetapi, kita mengambil pendekatan untuk pastikan pilih Dr Joohari Ariffin disebabkan kelayakan beliau sebagai pemimpin. Kedua, tentulah semua benda yang Sungai Duri nak, adalah mudah bagi beliau.

“Beliau dari PKR, kalau nak berjumpa dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ahli Parlimen Nibong Tebal dan lain-lain tidak susah kerana semuanya datang dari parti beliau. Bayangkan sekiranya mereka memilih parti pembangkang … nak pergi ke pejabat Ahli Parlimen pun merasa canggung. Sebab mereka tidak datang dari parti yang sama.

“Itulah apa yang saya rasa di kawasan saya. Sebab itu apabila saya ambil kawasan Bertam, saya dapat pastikan Bertam tidak ketinggalan. Itu permulaan awal,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kemenangan PDM Sungai Duri ini bakal menjadi penanda penting kepada gelombang Perpaduan.

“Insya-Allah, kemenangan di PDM Sungai Duri ini adalah penanda penting kepada permulaan baharu gelombang Perpaduan. Nama pun Perpaduan, satu perkataan yang mulia dan baik. Jadi kita nak berpadu atas nama rakyat Malaysia dan atas kemahuan Yang di-Pertuan Agong dahulu,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.