Kerja Berpasukan Pasti Akan Membuahkan Hasil – Nur Farhana

 

KOTA MELAKA, 2 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka, Nur Farhana Ab Ghani memegang prinsip ‘kerja berpasukan pasti akan membuahkan hasil’ dalam mengemudi ahli-ahlinya dan ia telah terbukti.

Ujarnya, kata-kata yang diungkapkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman amat tepat setelah melihat beliau menerajui parti di Bahagian sehingga berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dan beberapa lagi kerusi lain.

Seharusnya tambah Nur Farhana, ia perlu menjadi contoh kepada ahli-ahli Puteri UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan dalam menaikkan imej parti.

“Ketua, Naib Ketua dan Setiausaha merupakan pemimpin-pemimpin Puteri di peringkat Cawangan. Anda semua perlu mencari Puteri-puteri, anak-anak muda di peringkat Cawangan masing-masing.

“Kerana apa? Kerana naiknya Puteri Kota Melaka adalah apabila Puteri Cawangan semua memberikan komitmen yang sangat baik,” katanya ketika majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Kota Melaka di sini petang Ahad.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan turut dihadiri Abdul Razak yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Seterusnya, Nur Farhana juga bersyukur kerana Puteri di beberapa Cawangan telah berjaya melaksanakan mesyuarat di samping mengadakan program kemasyarakatan.

“Alhamdulillah, untuk tahun 2023 saya mensasarkan program diadakan di peringkat Cawangan-cawangan. Dan beberapa Cawangan telah bersama-sama menyambut baik cadangan dengan mengadakan program berskala kecil.

“Tahun ini insya-Allah kita sasarkan program di peringkat DUN di lima DUN. Saya harap semua Puteri Cawangan dapat bersama-sama,” katanya.

Jelas Nur Farhana lagi, Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka juga mengambil inisiatif dengan mewujudkan kumpulan WhatApps ‘Sahabat Puteri Kota’ sebagai saluran interaktif, menyampaikan pelbagai aktiviti Puteri di samping mengangkat pelbagai isu berkaitan.

Pada majlis tersebut, beberapa mantan ahli jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka juga diraikan dengan memberi cenderahati sebagai tanda penghargaan atas jasa dan kesetiaan mereka kepada parti baik ketika kalah mahupun menang.

Nur Farhana turut mengucapkan tahniah kepada barisan ahli jawatankuasa Puteri sesi penggal ini yang sangat komited, tanpa mengira penat lelah, berkorban tenaga dan masa.

Sebagai contoh katanya seperti membantu jentera parti berkempen ketika Pilihan Raya Negeri di enam negeri khususnya di DUN Rantau di bawah Parlimen Rembau, Negeri Sembilan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.