Forum Jelajah Penerangan UMNO Rungkai Persoalan, Fokus Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Penganjuran Jelajah Penerangan UMNO bagi mengupas isu-isu semasa utama yang dihadapi rakyat adalah manifestasi kepada keprihatinan parti bagi memberikan penjelasan lebih terperinci untuk dibawa ke akar umbi dan seterusnya kepada rakyat.

Program cetusan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ini membawa pelbagai isu-isu negara dan rakyat melalui sesi forum yang mendapat perhatian sejak kebelakangan ini. 

Antaranya ialah penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dengan kehadiran tokoh-tokoh korporat iaitu Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Jabatan Pelaburan Strategik & Penyelidikan, Mohd Shahazwan Mohd Harris.

Konklusinya penswastaan ini dilihat akan mempertingkatkan lagi daya saing pengendali lapangan terbang di peringkat antarabangsa, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi rangkaian lapangan terbang.

Melalui langkah ini juga penswastaan, ia dapat memperkemas struktur pegangan saham, akan memudahkan empat pemegang saham iaitu Khazanah, KWSP, ADIA dan Global Infrastructure Partners (GIP) untuk menyelaraskan strategi dan bekerjasama rapat dengan kerajaan, mengekalkan pemilikan saham khas.

Tawaran berkenaan yang turut membabitkan pelabur asing iaitu GIP yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) dan ADIA dari Abu Dhabi menunjukkan Malaysia masih mempunyai daya tarikan yang menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Isu penyasaran semula subsidi diesel dan pemberian khas juga antara fokus dalam forum tersebut, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Dapat disimpulkan kerajaan mendapat penjimatan sehingga RM8 bilion hasil penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan mulai semalam, sekali gus membolehkan kos itu dipulangkan semula untuk manfaat rakyat khususnya dalam bentuk bantuan tunai.

Terangnya, hasil penjimatan subsidi diesel itu akan boleh dirasai rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

Malah, kerajaan berada di landasan tepat dengan ‘melepaskan’ subsidi diesel kerana jumlah yang besar itu mampu digunakan untuk perkara lebih penting seperti menggajikan lebih ramai doktor dan guru.

Peguam, Shahrul Fazli juga turut sama dalam forum tersebut menerusi segmen Perjanjian Malaysia, 1963 (MA63) dan Amalan Persekutuan, dapat dirungkaikan bahawa Kerajaan Perpaduan dapat melaksanakan sesuatu yang lebih signifikan terhadap komitmen MA63 melalui platform rundingan rasmi ketiga-tiga pihak dalam ‘mode’ pelaksanaan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

Kehadiran pemegang taruh ini sekaligus merungkai kebimbangan yang membelenggu rakyat, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, ketua-ketua UMNO dengan memanfaatkannya bagi mendapat informasi.

Lebih dari itu, forum ini aktif pada sesi soal jawab berdasarkan persoalan yang berbangkit terutama berkaitan kepentingan membabitkan rakyat.

Program yang dihadiri lebih 150 peserta ini telah berlangsung semalam di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.– UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit