UMNO Tidak Pernah Lupa Peranan Bawa Perjuangan Melayu/Islam Seperti Dalam Perlembagaan – Azalina

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata UMNO tidak pernah lupa peranannya membawa perjuangan Melayu/Islam seperti mana yang juga terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ini ditambah dengan tanggungjawab UMNO suatu ketika dahulu dalam memainkan peranan penting kepada tertubuhnya kontrak sosial yang mendorong pengikat jati diri bangsa Malaysia merdeka.

“Sejak kebelakangan, banyak suara-suara sumbang yang bercakap seolah-olah UMNO dalam kerajaan lupa tentang tugas dan tanggungjawab kita di bawah Perlembagaan dan kita sebagai satu parti Melayu Islam.

“Saya nak ingatkan kepada anda sebagai mata dan telinga kepada parti bahawa asas kontrak sosial dalam negara kita ialah perlembagaan, kemerdekaan dan hubungan etnik.

“Perjuangan kontrak sosial dalam negara diperjuangkan oleh UMNO pada tahun 1948 dan kontrak sosial Malaysia kalau kita tengok dari segi sejarah adalah bermula denan Malayan Union, Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam tiga perkara ini, kita tak dapat lari tentang peranan yang dimainkan oleh UMNO sebagai pengerak kepada suara Melayu Islam dalam negara kita. Bukan parti lain tetapi UMNO parti kita yang bertanggungjawab dan sejarah Persekutuan Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ia dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, ketua-ketua UMNO seluruh negara dan kepimpinan penerangan.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menekankan bahawa Perlembagaan Malaysia adalah pengikat utama dalam penerapan kontrak sosial di negara ini.

“Perlembagaan menyatakan dengan terang-terang tentang peranan yang dimainkan iaitu Perkara 181 kedaulatan raja-raja Melayu; Perkara 3 Islam agama persekutuan; Perkara 152 Bahasa Melayu, Perkara 153, hak istimewa orang Melayu… ini kontrak sosial.

“Maknanya tak boleh disentuh mana-mana kepada pindaan perkara ni. Jadi, saya nak ingatkan diri kita bolehkah kontrak sosial ini ditarik balik? Saya nak beritahu bahawa sebenarnya dalam Perlembagaan kita, terdapat apa yang disebut pada interpretasi saya yang disebut sebagai ‘double lock’,” ujar beliau.

Ini kerana katanya Majlis Raja-raja (MRR) memainkan peranan penting untuk memantau dan memelihara tentang kedaulatan dan isu-isu orang Melayu.

“Kita merasakan boleh buat pindaan pada isu-isu hak istimewa melayu, agama rasmi, bahasa. Tak boleh sebab yang akan memantau dan memelihara tentang kedaulatan dan isu-isu orang melayu adalah MRR.

“Jadi MRR dalam negara kita ni sebenarnya yang akan memberikan balancing power kepada kita sebagai ahli Parlimen.

“Tak akan wujudnya cerita mana-mana pihak cuba mengambil alih hanya kerana mereka ada suara dalam Parlimen tak boleh sebab yang memegang taruh sebenarnya ialah MRR,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.