Lebuh Raya PSL Dengan Penyediaan Lorong Dua Hala Untuk Kemudahan Pengguna – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Cadangan lebuh raya bertingkat dari Plaza Tol Senawang PLUS ke Lebuh Raya Kajang – Seremban (LEKAS) atau lebih dikenali sebagai Paroi – Senawang Link (PSL) dirancang untuk menyediakan kesinambungan antara lebuh raya di antara Lebuhraya Utara – Selatan dan Lebuhraya LEKAS dengan sambungan ke Laluan Persekutuan (Jalan Seremban – Tampin) dan (Jalan Seremban – Kuala Pilah), kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, Persimpangan Bertingkat Senawang (PLUS) dirancang dibina secara bertingkat di atas Jalan Persekutuan sehingga ke sebelum Persimpangan Bertingkat (Jalan Seremban-Kuala Pilah).

“Cadangan Lebuh Raya PSL dengan penyediaan laluan dua lorong dua hala akan dapat menyediakan rangkaian laluan alternatif dan menghubungkan antara Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya LEKAS. Ini juga akan membantu mengurangkan kesesakan dengan mengasingkan trafik setempat (localized traffic movement) dengan through traffic di Jalan Persekutuan (FT242) melalui pembahagian trafik yang berkesan.

“Sekiranya pengguna menggunakan jalan sedia ada iaitu FT242, perjalanan sejauh 6.6 km lazimnya akan mengambil masa sekitar 30 minit atas faktor laluan yang perlu menempuhi 10 buah persimpangan yang dikawal dengan lampu isyarat.

“Sekiranya cadangan PSL ini dilaksanakan, pengguna akan dapat menikmati kemudahan laluan yang lebih selesa selain memendekkan tempoh perjalanan kepada enam minit sahaja dengan laluan baharu bertingkat di atas jalan sedia ada,” katanya.

Beliau menjawab soalan dari Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta Menteri Kerja Raya di Dewan Rakyat menyatakan apakah status terkini  projek lebuh raya bertingkat dari Tol Senawang PLUS ke susur keluar Lebuh Raya Lekas kerana sehingga kini masih tidak nampak pelaksanaan kerja-kerja projek tersebut. 

Ahmad yang juga Ahli PArlimen Pontian berkata Projek Lebuhraya PSL ini telah mendapat kelulusan prinsip daripada Kerajaan pada September 2022 dan telah melalui proses Makmal Kejuruteraan Nilai (Value Engineering) pada Mac 2023.

“Lebuhraya PSL ini telah dibincangkan secara terperinci bagi memastikan projek ini berdaya maju dan mampu memberi nilai tambah kepada penduduk sekitar khususnya kepada pengguna lebuh raya.

“Melalui perbincangan makmal tersebut yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta pemegang taruh yang berkaitan, beberapa input dan cadangan penambahbaikan kepada konfigurasi cadangan laluan telah disesuaikan sebagai penambahbaikan kepada cadangan asal.

“Cadangan asal lebih kepada mengoptimumkan pelaksanaan projek dengan menyediakan laluan secara turun naik mengikut keperluan berbanding dengan penetapan jajaran selepas bengkel VE yang memerlukan seamless travel dengan laluan bertingkat sepenuhnya,” jelas beliau.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian menjelaskan perubahan rekabentuk lebuh raya yang lebih baik daripada cadangan asal, terdapat peningkatan terhadap kos pembinaan Lebuhraya PSL.

“Pihak Kerajaan sedang meneliti kaedah terbaik bagi mendapatkan pembiayaan kos pembangunan untuk pelaksanaan projek lebuh raya ini termasuk opsyen cadangan pelaksanaan melalui kaedah Permintaan Untuk Cadangan (Request for Proposal – RFP).

“Antara kaedah lain yang dicadangkan dan sedang diteliti oleh Kerajaan adalah melalui pembiayaan perkongsian pembiayaan antara Kerajaan dan Swasta melalui (public-private partnership) atau pembiayaan sepenuhnya oleh pihak swasta secara (build – operate – transfer),” jelasnya.

Ujarnya lagi, pihak Kementerian Kerja Raya sedang meneliti keadaan trafik di laluan tersebut sebelum dibincangkan mekanisme terbaik pelaksanaan projek PSL ini di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM).

“Sekiranya pelaksanaaan projek ini tidak viable secara penswastaan, kaedah biasa projek jalan persekutuan akan digunakan dengan keperluan untuk memohon peruntukan melalui Rancangan Malaysia Ke- 12 ataupun 13 (RMK-12/13) kepada Kementerian Ekonomi,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.