Kerjasama Kerajaan Perpaduan, UMNO Beri Sumbangan Besar Kepada Kestabilan Negara – Mohd Zaidy

JEMPOL, 1 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata keberadaan UMNO di dalam kerajaan ternyata banyak memberi manfaat kepada kestabilan negara dan seterusnya mampu mensejahterakan rakyat.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu, atas kedinamikan politik hari ini, kerjasama sesama parti dalam kerajaan amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan.

“Kehadiran UMNO telah memberikan impak yang besar dan akhirnya negara ini berada dalam politik yang stabil, ekonomi semakin naik kerana pelabur-pelabur asing sudah mula melabur dalam negara ini.

“Dengan kerjasama tersebut negara ini sedang berada di garisan yang betul. Politik sekarang sudah berubah, dulunya UMNO sebagai parti politik yang dominan namun kini tidak lagi dan hari ini sebahagian dari Kerajaan Perpaduan.

“Selaku ahli parti harus bersiap siaga dalam apa jua rintangan dan cabaran kerana tiada satu parti yang akan dominan dan perlu kerjasama yang baik untuk memastikan kestabilan politik,” ujarnya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Seterusnya jelas Mohd Zaidy, setiap ahli parti juga perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa memberi khidmat.

“Kita sentiasa mesti berada bersama rakyat dan menunjukkan bahawa UMNO sentiasa berbakti, berkerja dan berkhidmat untuk rakyat.

“Parti ini sebagai pemangkin dan harus sentiasa ke depan dalam apa jua membantu rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaidy menjelaskan konsep kepimpinan UMNO sentiasa membantu rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kawasan.

“Kita kena bermula dari sekarang kerana rakyat menilai dengan cara gerak kerja, bergaul, menyantuni serta menyelesaikan masalah masyarakat, berikan bantuan, peluang perniagaan dan sebagainya.

“Pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan kena berterusan bersama rakyat dan merupakan prinsip perjuangan parti serta menyampaikan maklumat-maklumat tepat pada mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit