PRK Sungai Bakap: Tengku Zafrul Optimistik Kerajaan Perpaduan Mampu Menang

NIBONG TEBAL, 30 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz optimistik bahawa Kerajaan Perpaduan mampu untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurutnya, pencerahan yang tuntas kepada masyarakat setempat mengenai isu-isu semasa adalah penting untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Alhamdulilah di Sungai Bakap saya dapat lihat ramai jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) turun ke bawah membantu jentera Pakatan Harapan (PH) di DUN Sungai Bakap ini. Kita baru saja selesai berjumpa dengan pengundi dan saya dapat lihat ramai juga yang membantu dari negeri-negeri lain.

“Tapi yang lebih penting, kita memberi pencerahan dan penerangan kepada semua pengundi di sini bagaimana Kerajaan Perpaduan dapat membantu rakyat serta penduduk di Sungai Bakap,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, calon Kerajaan Perpaduan yang dipertandingkan adalah yang terbaik kerana dilihat mempunyai kredibilitinya tersendiri.

“Saya rasa calon yang dipertaruhkan oleh Kerajaan Perpaduan ini adalah calon terbaik untuk penduduk di sini. Beliau merupakan seorang yang ‘qualified’ untuk memimpin.

“Kedua, kita sebagai wakil Kerajaan Perpaduan ingin melihat calon kita menang kerana Kerajaan Perpaduan di Negeri Pulau Pinang amat berjaya melaksanakan polisi dan dasar dengan baik.

“Dari perspektif saya dari segi perdagangan dan pelaburan, maka saya berhasrat untuk melihat limpahan tersebut datang dengan lebih banyak lagi. Saya rasa cikgu Joohari memahami isu yang perlu kita selesaikan dan dapat mengeratkan kerjasama juga bersama dengan kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para jentera Kerajaan Perpaduan yang telah bekerja keras bagi memastikan kemenangan Dr Joohari Ariffin.

“Kepada jentera saya nak ucapkan terima kasih kerana bekerja keras setakat ini dan teruskan usaha kita sehingga 6 Julai ini dalam memastikan semua pengundi keluar untuk mengundi calon kita, calon nombor satu Dr Joohari.

“Apa yang berlaku pada hari ini saya dapat lihat … kalau betullah mereka begitu fokus untuk membantu calon kita menang, saya optimistik yang Insya-Allah kita akan dapat merampas kembali DUN Sungai Bakap ini,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit