PRK Sungai Bakap: Taqarrub… Wadah Dekati Rakyat, Beri Penjelasan – Dr Asyraf

NIBONG TEBAL, 30 Jun – Taqarrub merupakan sebuah wadah yang digunakan oleh jentera Barisan Nasional (BN) dalam membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia juga menjadi platform terbaik untuk memberi penjelasan kepada rakyat dalam kumpulan kecil mengenai isu semasa parti seperti pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Alhamdulillah, pendekatan jentera BN yang membantu calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin adalah dengan pergi terus kepada pengundi menggunakan kaedah yang dikenali sebagai taqarrub.

“Kita kumpulkan lebih kurang 30 ke 40 orang pengundi untuk memberi penjelasan terutama di pusat-pusat daerah mengundi (PDM) melibatkan kawasan yang kita kenali dahulu sebagai lubuk UMNO/BN. Cuma dalam dua pilihan raya yang terdahulu, kita telah kalah di kawasan-kawasan ini kerana tidak meletakkan calon sendiri,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, penjelasan berserta fakta dan bukti nyata mampu meleraikan segala persoalan rakyat terutamanya mengenai isu pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Ramai yang keliru berkenaan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Sebab itulah penjelasan penting supaya kita memberikan keyakinan kepada mereka dengan fakta dan bukti nyata … bahawa UMNO tidak pernah menggadaikan perjuangan Islam dan Melayu dalam Kerajaan Perpaduan. Itulah intipati penting dalam perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan ini. Kita ada satu perjanjian meliputi sembilan muka surat yang ditandatangani oleh kesemua 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada waktu itu.

“Pertama, kita meletakkan syarat agar kita semua mendukung prinsip Islam sebagai agama persekutuan. Kedua, kedudukan Melayu bumiputera berdasarkan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Ketiga, institusi raja-raja Melayu, bahasa Melayu tidak diperlekehkan atau digadaikan. Ini prinsip perjuangan kita dan UMNO tidak pernah melupakan dan tidak menggadaikannya.

“Perjanjian ini masih berjalan. Sebagai ketua sekretariat Kerajaan Perpaduan pun, jika ada perselisihan atau salah faham, kita selesaikan dalam platform mesyuarat pimpinan jawatankuasa dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa rakyat di Sungai Bakap memerlukan seorang wakil rakyat yang mampu untuk menjadi jambatan penghubung kepada kerajaan negeri mahupun persekutuan.

“Apa yang paling penting ialah kita nak ada jambatan. Jambatan ini ada dua penghubung, orang kata seperti jambatan Pulau Pinang iaitu jambatan kepada kerajaan negeri dan persekutuan. Orang di Sungai Bakap perlu ada seorang wakil rakyat yang mampu menjadi jambatan ini untuk memudahkan apa jua perkara melibatkan soal keperluan, kebajikan dan suara hati mereka yang boleh disalurkan terus kepada Kerajaan Perpaduan di negeri Pulau Pinang serta persekutuan.

“Kedua-dua (calon) adalah tokoh tempatan dan sama hebat. Tetapi yang membezakan Dr Joohari dengan pesaingnya adalah beliau merupakan anak tempatan yang akan mewakili aspirasi Kerajaan Perpaduan dan boleh membawa suara rakyat. Beliau juga boleh membawa isu-isu berbangkit mengenai kebajikan dan keperluan rakyat Sungai Bakap kerana beliau adalah jambatan Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang dan persekutuan,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.