Prestasi Terbaik ADUN UMNO Negeri Sembilan, Terus Khidmat Kepada Rakyat – Jalaluddin

KUALA PILAH, 30 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan kesyukuran dengan prestasi cukup baik yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata, ini termasuk fokus mereka dalam membela nasib rakyat terutama orang Melayu serta memperkasa masyarakat di luar bandar melalui dasar-dasar yang dibawa kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah kesemua 14 ADUN berkhidmat untuk terus membela rakyat, terutamanya bagi orang Melayu dan orang luar bandar.

“Kita ada Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri yang memperjuangkan Melayu luar bandar, TVET umpamanya yang dibawa oleh Presiden ini adalah untuk kekuatan orang Melayu di peringkat akar umbi.

“Inilah yang kita perlukan untuk kekuatan UMNO pada masa akan datang dan bagi mendukung hasrat perjuangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan KPDNHEP Kuala Pilah.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan kepimpinan bahagian yang lain.

Dalam pada itu Jalaluddin turut sama mengambil kesempatan mengajak ahli untuk terus mengukuhkan parti sebagai keluarga besar UMNO, dalam memperkasa parti keramat ini untuk sentiasa relevan membawa agenda rakyat.

“Kita gerak bersama budaya kita, membawa kapal perjuangan ini sebagai satu kumpulan dan keluarga besar.

“Insya-Allah apabila kita perbetulkan diri daripada pemimpin sampailah ke peringkat akan rumbi, saya percaya UMNO akan terus kuat dan bangkit,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.