UMNO Manfaatkan Keberadaan Dalam Kerajaan, Bela Nasib Rakyat Dan Orang Melayu – Ahmad Zahid

KUALA PILAH,  29 Jun – UMNO perlu memanfaatkan keberadaan dalam kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana ia jelas seperti mana perjuangan UMNO dalam membela nasib rakyat sejak penubuhannya sejak tujuh dekad yang lalu.

“Dibukakan hati Perdana Menteri untuk meletakkan sesuatu jawatan kepada kita maka gunakanlah amanah itu kerana ia (bersifat) sementara.

“Ya kita pernah melakukan kesilapan kerana memerintah 62 tahun kadang-kadang lupa dengan bersifat ujub, sombong, leka. Itu harus diakui tetapi apabila Allah mentakdirkan semula UMNO/ Barisan Nasional duduk bersama-sama dengan kerajaan.

“Jadi gunakan peluang ini untuk membantu rakyat, ahli UMNO, orang Melayu. Ini harus dilakukan tetapi bukan bererti yang kita ketepikan orang bangsa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang diadakan di Dewan KPDNHEP Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan kepimpinan bahagian yang lain.

Menurut beliau, pemerkasaan agenda UMNO bersama rakyat dapat dilihat melalui pendidikan antaranya TVET, Kemas dan generasi Al-Quran seperti yang dilakukan beliau ketika ini sekaligus menterjemahkan komitmen UMNO.

Kata Ahmad Zahid lagi, beliau percaya kesungguhan tersebut berupaya meningkatkan sokongan orang Melayu kepada parti keramat ini.

“Oleh sebab itu, untuk UMNO menjadi dominan semula UMNO mesti diterima semula, bukan hanya oleh ahli-ahli UMNO sahaja kerana ahli-ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk mengenangkan calon-calon UMNO.

“Kita mesti mengambil sokongan daripada orang yang tidak menjadi ahli atau ahli daripada parti-parti lain untuk bersama-sama mendukung calon-calon UMNO semula supaya kita menjadi dominan untuk UMNO,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga meluahkan harapan untuk UMNO Kuala Pilah mempertahankan kerusi Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Senaling, Juasseh, Seri Menanti dan Johol pada pilihan raya akan datang.

“4+1 untuk UMNO di Kuala Pilah saya amat yakin pada pilihan raya, kita akan kekalkannya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.