UMNO Akan Letak Calon PRK Nenggiri – Ahmad Zahid

LIPIS, 29 Jun – UMNO akan meletakkan calonnya  untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Neggiri, Kelantan 17 Ogos depan.

Presidennya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata insya Allah kerjasama sepenuhnya akan menghasilkan kejayaan kelak.

“Insya Allah kalau kita bekerja keras Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada kita.

“Semalam Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob telah bertemu dengan Ketua UMNO bahagian Gua Musang, YM Tengku Razaleigh Hamzah.

“Saya telah melantik YM Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya di kawasan berkenaan dan Pengarah Operasinya adalah Datuk Jazlan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Lipis, di sini, hari ini.

Turut serta Ketua UMNO bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan pimpinan UMNO negeri yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menambah gabungan pemimpin tempatan dan negeri merupakan antara pendekatan yang digunakan parti berkenaan.

“Ada pemimpin tempatan dan ada pemimpin negeri… itulah kaedah UMNO menyantuni pemimpin kedua-duanya. Mudah-mudahan kombinasi ini akan dapat memberikan kemenangan kepada kita dan  saya minta UMNO  wajib membantu calon kita di Nenggiri nanti,” ujarnya.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.

Menerusi ucapannya itu juga Ahmad Zahid turut meminta ahli parti terus bergerak ke depan tanpa menoleh lagi ke belakang.

“Alhamdulillah..saya tidak keseorangan malah bersama saya barisan kepimpinan parti serta ahli yang lain. Walaupun kita dicerca dan sebagainya, ahli terus bersemangat dan bersama-sama meneruskan perjuangan UMNO,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit