PRK Sungai Bakap: Dr Asyraf Seru Pilih Wakil Rakyat Beraspirasi Kerajaan Perpaduan

NIBONG TEBAL, 29 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru para pengundi di Sungai Bakap untuk memilih wakil rakyat yang mampu membawa aspirasi Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menurutnya, wakil rakyat yang dipilih oleh masyarakat di Sungai Bakap ini sepatutnya mampu membawa suara mereka kepada kerajaan negeri mahupun persekutuan.

“Sebab itulah apabila kita kembali ke Sungai Bakap ini, kita nak pilih calon yang boleh membawa aspirasi Perpaduan ini. Apa yang paling penting beliau boleh membawa suara hati dan naluri rakyat.

“Orang itu mestilah seseorang yang mempunyai pemikiran jauh, pendidikan baik, faham makna kesusahan dan kepayahan rakyat… di samping boleh membawa suara rakyat kepada kerajaan negeri serta persekutuan. Ini kerana beliau adalah jambatan penting kepada rakyat.

“Tetapi kalau kita pilih pembangkang, apa yang dia boleh buat untuk membawa suara orang di Sungai Bakap ini kepada kerajaan negeri? Apa yang dia boleh bawa kepada kerajaan persekutuan? Itu yang paling penting. Sebab kita nak pilih pemimpin yang boleh membawa suara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Ceramah Demi Perpaduan yang dianjurkan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tasek Junjong pada Jumaat.

Jelasnya, bukan hanya peruntukan yang menjadi masalah utama sekiranya pembangkang dipilih menjadi wakil rakyat, bahkan mereka juga gagal membawa masalah setempat ke saluran sepatutnya.

“Kita bukan memilih agama. Kita juga tidak memilih orang yang hanya pandai bercakap dan hebat berceramah, tetapi akhirnya meninggalkan rakyat selepas habis pilihan raya. Ini yang berlaku. Cuba ‘check’ balik gerak kerja pemimpin-pemimpin yang menang pada pilihan raya lalu terutamanya daripada mereka (Perikatan Nasional) ini.

“Akhirnya mereka kata tiada peruntukan. Ini bukan soal peruntukan semata-mata. Soalnya, adakah mereka membawa masalah rakyat ke kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan sepatutnya? Jangan bagi alasan mengenai peruntukan. Sebagai wakil rakyat, kita sepatutnya membawa suara rakyat.

“Ini balik pun tidak apabila dah jadi wakil rakyat. Akhirnya, yang kalah pilihan rakyat juga yang diminta tolong. Inilah realitinya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan agar para pengundi di Sungai Bakap memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir kawasan tersebut sebaiknya.

“Sungai Bakap ini kita perlu ambil semula. Berilah sokongan kepada calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin. Orang tempatan yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan, mudah didekati dan banyak berjasa kepada masyarakat.

“Mudah-mudahan, Allah akan merahmati dan memberkati perjuangan kita semua. Semoga apabila keluar saja keputusan pada hari Sabtu depan, kita akan mendapat khabar berita bahawa calon daripada Kerajaan Perpaduan menjadi wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sungai Bakap ini.

“Kita ada lapan hari lagi berbaki. Ini bermakna kita kena kerja kuat, merayu, leraikan sebarang kekusutan mahupun kekeliruan dan hasutan yang cuba dimainkan oleh pihak lawan untuk menarik undi serta merasuk rakyat supaya meninggalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit