PRK Medan Latihan Keserasian Parti Dalam Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

KUALA PILAH, 29 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) merupakan medan latihan untuk menguji keserasian pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini termasuk dari segi kerjasama dan sokongan untuk memenangkan calon yang dipertandingkan walaupun berbeza parti dan ia telah diterjemahkan di beberapa siri PRK sebelum ini.

“Sekarang ini sedang berlaku kempen (PRK) di Sungai Bakap, yang bertanding bukannya calon UMNO tetapi kaedah kita berkerja membantu kawan-kawan kita daripada calon parti lain, saya hormat dengan jentera UMNO Pulau Pinang dibantu Perlis, Kedah dan Perak Utara, seolah-olah ini calon UMNO.

“Kita juga hadapi PRK Pelangai, Pahang (ditandingi UMNO), hari-hari Presiden AMANAH (Datuk Seri Mohamad Sabu) turun kempen kita dan saya lihat rakan parti komponen AMANAH, PKR, DAP (turut bantu).

“Di PRK Pulai dan Simpang Jeram, Johor, jentera parti UMNO kerja keras untuk menangkan calon AMANAH, begitu juga DAP dan PKR (bantu kempen), dan Mat Sabu berterima kasih kepada kita…ini menunjukkan susunan kerja jentera cukup berstruktur, inilah semangat setiakawan antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dihadiri lebih 700 perwakilan daripada 126 cawangan di sini hari ini. – -BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.