Jelajah Penerangan UMNO: Bahagian Sembrong Jadi Lokasi Pertama Di Johor

KLUANG, 29 Jun – Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke selatan negara apabila memilih Bahagian Sembrong sebagai lokasi pertama di Negeri Johor.

Bertempat di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini hari ini, ia dihadiri lebih tiga ratus kepimpinan akar umbi yang terdiri daripada ahli jawatankuasa UMNO bahagian empat peringkat, ketua-ketua UMNO cawangan dan sayap serta ketua penerangan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga bekas menteri kabinet menjadi penceramah utama dan terdahulu Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) ini mendapat sokongan daripada kepimpinan parti serta maklum balas yang cukup baik daripada akar umbi.

Menerusi Jelajah Penerangan terbabit, akar umbi mendapat informasi dan maklumat yang tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan parti.

Sebagai rekod, majlis pelancaran Jelajah Penerangan UMNO telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur.

Antara negeri yang disinggahi Jelajah Penerangan UMNO adalah Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.