Abdul Rahman Sifatkan Landskap Politik Malaysia Makin Dinamik Serta Matang

LIPIS, 29 Jun – Ketua UMNO bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata landskap politik Malaysia hari ini bukan sahaja dinamik malah semakin matang.

Bagi beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, untuk UMNO terus relevan, parti perlu bergerak sederap dan seiring bersama dengan hala tuju politik Malaysia.

“Jika  kita memilih untuk bersendirian dan sentiasa menoleh ke belakang, sudah tentulah survival parti ini tak dapat dicapai dan diselamatkan.

“Kita pernah melalui pelbagai era kegemilangan, kita juga pernah melalui detik kekalahan yang begitu pahit untuk diimbau. Tapi, adakah kekalahan ini menjadikan kita makin lemah?

“Kita tidak akan mengalah, namun kita akan terus bangkit dan mara ke hadapan. Sesungguhnya kekalahan ini mengajar kita banyak perkara. Kita mengambil iktibar, kita mencari hikmah, kita mengambil pengajaran.

“Kita berani berdepan dengan realiti. Kita insaf dan berubah, demi perjuangan UMNO demi bangsa, agama, demi Melayu dan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Lipis yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Turut serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar dan pimpinan setempat lain.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya keberadaan pemimpin tertinggi UMNO di dalam kabinet kerajaan Malaysia adalah satu anugerah yang perlu disyukuri.

Katanya terbukti pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN)  berjaya menggalas tanggungjawab dan amanah yang sangat baik, serta berupaya membantu membawa agenda mengukuhkan golongan bumiputera.

“Antara inisiatif yang sangat cemerlang adalah Agenda TVET Negara yang dipengerusikan oleh

Presiden UMNO. Melalui Dasar TVET Negara, anak-anak muda dberikan peluang kedua untuk mendapatkan pendidikan dari segi kemahiran teknikal dan vokasional yang mana majoriti mereka ini terdiri daripada golongan bumiputera anak Melayu.

“Inilah perjuangan Presiden dan akhirnya TVET berjaya menjadi pilihan utama anak muda. Presiden, selaku Timbalan Perdana Menteri juga mempelopori agenda Tahfiz dengan memperkenalkan Dasar Tahfiz Negara. Begitu juga Program Pra- Tahfiz, kepada lebih 10 ribu Tadika KEMAS seluruh negara.

“Beliau juga memperkasakan program Ulul-Albab di semua institusi pendidikan MARA terutamanya 57 buah MRSM dan GiatMara seluruh Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, tahun 2024 sahaja Kerajaan peruntukkan lebih RM150t juta untuk agenda Tahfiz ini dan ini membuktikan kejayaan UMNO dalam membawa agenda mengukuhkan pengembangan Islam.

“Agenda pengembangan Islam ini turut di bawa oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Naib Presiden UMNO. Sekolah Maahad Tahfiz Pahang memegang rekod Keputusan terbaik SPM 2023 menewaskan sekolah-sekolah cemerlang yang lain.

“Baru-baru ini beliau juga telah menubuhkan, Maahad Tahfiz di Kuala Lipis dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan bahawa musuh sebenar berada di luar dan masing-masing perlu menjaga ‘rumah’ UMNO.

“Sedarlah semua, musuh politik sebenar bukan sesama kita tapi yang di luar sana. Ayuh, perkemas rumah kita, hias bak mahligai yang indah, belailah jiwa keluarga kita. Yang tinggal inilah yang perlu kita jaga, merekalah pewaris perjuangan kita

“Marilah kita hulurkan tangan, rapatkan ukhwah, eratkan perpaduan. UMNO mesti bangkit, sudah menjadi resam dan adat orang Melayu, agar kembali bingkas sesudah tewas,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.