PRK: Peluang Kedua Rakyat Sungai Bakap Perbetul Kesilapan – Nuraini

NIBONG TEBAL, 28 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap merupakan peluang kedua untuk rakyat di kawasan tersebut bagi memperbetulkan kesilapan mereka dengan memilih wakil rakyat dari Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berkata, pelbagai gerak kerja telah dirangka oleh sayap tersebut pada PRK kali ini yang memberi fokus kepada ‘man to man marking’.

“Untuk kali ini peranan Pergerakan Puteri UMNO di Sungai Bakap sudah pastinya kita tumpukan kepada pengundi muda terutamanya dan kita beri fokus kepada ahli-ahli UMNO. Kita juga telah melaksanakan banyak program seperti ‘walkabout’ untuk edarkan risalah calon di samping menjayakan ‘speaker corner’ bersama Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang.

“Di samping itu, kita juga telah melaksanakan gerak kerja dari segi ‘calling’ daripada ‘call centre’. Kali ini kita cuba memberi fokus kepada ‘man to man marking’ di mana kita cuba cari pengundi sehingga ke rumah. Kita kurangkan ceramah dalam skala besar dan kita cuba tumpukan kepada di mana pengundi kita berada.

“Kali ini, gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO kita lihat lebih bertumpu berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN). Pergerakan Puteri UMNO Kedah datang ke sini membantu untuk memberikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, Insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, hanya satu DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal yang terlepas ke tangan pihak pembangkang pada PRN tempoh hari dan ini adalah peluang terbaik untuk merampasnya semula.

“Kalau kita lihat dari segi geopolitik di Parlimen Nibong Tebal ini … ada tiga DUN. Dua lagi itu dah memang wakil daripada Kerajaan Perpaduan dan hanya Sungai Bakap yang terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN) semasa PRN tempoh hari.

“Jadi, ini adalah peluang kedua untuk rakyat di Sungai Bakap membuat pilihan sekali lagi. Saya yakin Cikgu Jo merupakan calon pilihan kerana beliau seorang guru yang mempunyai trek rekod baik, mendampingi masyarakat daripada dulu sampai sekarang. Cikgu Jo ada serba boleh dan berwibawa untuk menjadi wakil rakyat masyarakat di Sungai Bakap ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa mereka berazam untuk mengekalkan dan jumlah undi bagi membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di PRK Sungai Bakap ini

“6 Julai ini merupakan peluang kedua kepada rakyat di Sungai Bakap untuk turun mengundi. Saya harap, buatlah pilihan tepat dan pilih calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin.

“Selaku keluarga angkat yang datang untuk membantu di PRK Sungai Bakap ini, kita harap sudah pastinya Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada sedikit kehilangan undi sebelum ini, berazam untuk mengekalkan undi sedia ada dan menambah lagi bilangan undi bagi membantu kemenangan calon kita,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Julai hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.