PRK: Masa Terbaik Untuk Kembalikan DUN Sungai Bakap Ke Pangkuan Kerajaan Perpaduan

NIBONG TEBAL, 28 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini merupakan masa terbaik untuk mengembalikan kawasan tersebut kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung, Muhammad Khairi berkata, dalam usaha untuk memenangkan calon Kerajaan Perpaduan, pelbagai gerak kerja telah dirangka oleh sayap Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang.

“Gerak kerja Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang pada minggu pertama ini telah dirancang sebaiknya sebelum proses penamaan calon lagi. Pertama, kita bersama Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang telah melancarkan ‘speaker corner’ sebab kita merasakan ia merupakan satu indikator yang menyebabkan kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di DUN Sungai Acheh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Walaupun kita menang dengan tipis pada ketika itu, saya rasa ‘speaker corner’ ini merupakan salah satu cara yang boleh digunakan untuk menarik anak muda. Meskipun mereka hanya berada di dalam rumah ataupun membeli makanan (di pasar malam), mereka secara tidak langsung boleh mendengar apa yang kita cuba sampaikan.

“Seterusnya, kita pun ada beberapa perkara yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Banyak program yang telah diatur dan juga telah berjaya dijalankan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang sepanjang tempoh berkempen ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kerjasama antara BN-PH sepanjang tempoh berkempen ini telah mencapai rentaknya tersendiri apabila mereka sudah pernah bekerjasama dalam beberapa siri pilihan raya selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Kerjasama Pergerakan Pemuda BN dan PH berjalan dengan lancar sebab sebelum ini kami sudah terbiasa bekerja bersama pada PRN lalu. Memang dah terbukti tidak ada sebarang masalah timbul termasuklah ketika mesyuarat-mesyuarat Pemuda Kerajaan Perpaduan.

“Saya boleh katakan dengan adanya PRK Sungai Bakap ini kerjasama antara BN-PH dari segi pergerakan jentera semakin utuh. Insya-Allah kita akan terjemahkan dalam keputusan PRK Sungai Bakap nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru anak-anak muda yang bakal mengundi pada 6 Julai ini supaya memilih calon Kerajaan Perpaduan dan tidak membuat keputusan berdasarkan emosi.

“Harapan saya yang pertama untuk orang UMNO terutamanya dari sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, buatlah keputusan terbaik dan jangan ikut emosi. Itu yang pertama.

“Untuk orang muda walaupun bukan ahli UMNO mahupun mana-mana parti, ini adalah masa untuk kita buat sesuatu keputusan bagi mengembalikan kembalikan Sungai Bakap kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah… calon kita pun calon yang baik, terbukti ada kredibilitinya. Saya rasa sudah tiba masanya untuk menangkan calon kita. Undilah calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit