PRK DUN Nenggiri Ditetapkan 17 Ogos – SPR

PUTRAJAYA, 28 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

“Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Nenggiri mengandungi seramai 20,259 pemilih. PRK DUN Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Nenggiri di Menara SPR di sini, hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Untuk maklumat lanjut mengenai pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan orang ramai boleh melakukan semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 29 Julai ini

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada parti itu.

Beliau adalah antara enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang digugurkan keahliannya serta-merta selepas mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

Ini adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu selepas PRK Bugaya (Sabah), Tioman (Perak), Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), DUN Simpang Jeram dan Pulai (Johor), Pelangai (Pahang), Jepak (Sarawak), Kemaman (Terengganu), Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.