Denda Dan Hukuman Selangor FC: Shah Zanuriman Anggap MFL, FAM Tidak Sensitif Isu Faisal Halim

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menggesa agar Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik balik denda serta hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC bagi mengembalikan kepercayaan peminat bola sepak Malaysia dan Selangor khususnya.

Beliau bertegas demikian sebagai menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kemurkaan baginda terhadap perkembangan terbaru bola sepak negara.

“Kemurkaan dan kedukacitaan baginda tuanku juga dikongsi bersama rakyat Selangor yang merasakan keputusan MLF bukan saja tidak sensitif dengan isu yang berlaku kepada Faisal Halim malah bersifat zalim bila mengenakan denda serta hukuman kepada Selangor FC.

“Saya juga menjunjung titah tuanku yang berasa kecewa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bersikap acuh tidak acuh dengan isu ini sedangkan ianya boleh ditangani dengan lebih berhemah lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shah Zanuriman yang juga merupakan Setiausaha Pemuda UMNO Selangor berkata ini kerana keputusan dalam pengurusan sukan bola sepak juga tidak boleh menafikan sifat kemanusiaan dan budi bicara.

Menurutnya lagi, ia berbanding hanya mengikuti buku peraturan secara tegak tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan dalam membuat keputusan. Tanpa elemen ini, tidak ada bezanya bola sepak dengan permainan e-sukan.

“Bola sepak adalah satu sukan yang dimainkan oleh manusia, diadili oleh manusia dan di kendalikan oleh manusia, kerana walaupun dengan perkembangan teknologi yang ada, bola sepak tetap mendahulukan keputusan yang dibuat oleh manusia berbanding mesin,” ujar beliau.

Terdahulu MFL dalam kenyataan berkata ahli Lembaga pengarah telah menggunakan “budi bicara” untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan keatas pasukan itu turut dibatalkan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit