Teruskan Semangat Bekerja, Menangkan Calon Kerajaan Perpaduan Demi Rakyat

NIBONG TEBAL, 27 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengingatkan jentera parti yang membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap untuk tidak mengendahkan pihak lawan sebaliknya fokus kepada gerak kerja sendiri.

Ini kerana katanya, orang ramai menaruh harapan kepada UMNO dan melihat parti ini berdasarkan perjuangannya.

“Apa saja yang pembangkang nak cakap pada kita, biarlah. Kita buat kerja kita. Hari ini orang menaruh harapan pada UMNO, mereka melihat pada UMNO, melihat pada perjuangan UMNO.

“Ramai yang berharap pada UMNO kerana kekuatan kita adalah dari akar umbi, ada jentera dan ada gerak kerja, maka kita akan bantu calon Kerajaan Perpaduan tundukkan Pas di PRK Sungai Bakap,” katanya.

Jelas beliau, keutamaan bagi UMNO adalah kepentingan rakyat.

“Kutuklah apa saja kerana kita bekerja untuk kepentingan rakyat. Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO akan pastikan apa saja manifesto yang diutarakan pasti akan ditunaikan.

“Apa yang penting adalah semangat untuk bekerja dan terus menangkan calon Kerajan Perpaduan.”

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di sini pada Selasa.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menerusi PRK ini, Dr Joohari Ariffin menjadi calon Kerajaan Perpaduan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN)/Pas pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan pengundian biasa pada 6 Julai.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit