PRK Sungai Bakap: Hindari Kesilapan, Pilih Calon Kerajaan Perpaduan – Mohd Noor

NIBONG TEBAL, 27 Jun – Para pengundi dinasihatkan untuk tidak mengulangi kesilapan lampau dengan memilih wakil rakyat yang tidak selari dengan kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad berkata, gerak kerja UMNO/Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal pada PRK kali ini turut dibantu dengan kehadiran bahagian angkat dari negeri berdekatan.

“Gerak kerja bagi PRK Sungai Bakap ini kita nampak menyeluruh kerana kita telah dapat bantuan daripada keluarga-keluarga angkat daripada negeri-negeri jiran yang datang ke sini bagi melaksanakan kerja-kerja mendekati rakyat.

“Kerja-kerja tersebut meliputi kajian sikap oleh Jalinan Rakyat (JR). Kita nak kenal pasti yang pertama sekali ahli-ahli UMNO. Ini yang penting untuk kita dapatkan seramai mungkin pengundi UMNO di Sungai Bakap supaya kita dapat mendekatkan diri dengan mereka agar memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, para pengundi di Sungai Bakap perlu memilih wakil rakyat yang selari dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri agar segala bantuan dapat disalurkan secara terus kepada rakyat.

“Pengundi di Sungai Bakap kena pilih calon Kerajaan Perpaduan kerana kalau kita lihat dari segi calon… kelebihan yang ada pada Kerajaan Perpaduan ini adalah apabila menang mereka bersama dengan kerajaan. Mereka mempunyai peruntukan dan boleh memberikan bantuan kepada seluruh penduduk di Sungai Bakap.

“Kalau mereka memilih calon di sebelah sana (pembangkang) sudah pasti mereka pun sudah biasa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lepas yang tiada peruntukan. Takkan kali ini mereka nak buat kesilapan sama dengan memilih ADUN yang tidak mempunyai peruntukan dan bersama dengan kerajaan negeri mahupun Persekutuan?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pengundi dapat membuat keputusan dengan memberikan mandat kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin masa depan mereka.

“Kita berharap para pengundi di Sungai Bakap boleh membuat satu keputusan dengan memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan kerana wakil rakyat mereka pilih ini perlulah sealiran dengan kerajaan negeri dan pusat, mempunyai peruntukan untuk membangun keseluruhan kawasan Sungai Bakap.

“Kita juga harap para pengundi tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dengan memilih calon pembangkang,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan 6 Julai pengundian biasa.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit