Malaysia Teruskan Tekanan Antarabangsa Pastikan Palestin Diterima Sebagai Anggota Penuh PBB
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan Malaysia komited meneruskan tekanan antarabangsa bagi memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata tekanan itu akan terus dilakukan menggunakan platform-platform antarabangsa yang dihadiri.
“Kita teruskan tekanan-tekanan antarabangsa untuk memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.
“Yang keduanya, kita akan terus menggunakan platform-platform antarabangsa yang sedia ada untuk bersuara bahawa pentingnya Palestin itu diterima sebagai anggota penuh dalam PBB,” kata Ahli Parlimen Kimanis itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Isam berkata Palestin mesti terima sebagai anggota penuh PBB supaya negara tersebut dapat menjadi pemegang taruh dalam proses pembuat keputusan yang bakal mempengaruhi masa depan mereka sendiri.
“Saya ingin mengetahui apakah usaha yang telah dilakukan setakat ini dan usaha yang telah dilakukan oleh negara bagi menyokong usaha Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh PBB,” soal beliau.
Menjawab soalan tersebut Mohamad berkata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 23 Januari lepas telah membuat kenyataan negara di Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Timur Tengah dengan menyuarakan kepentingan Palestin itu diterima sebagai anggota penuh PBB.
Pandangan sama disuarakan beliau sendiri ketika menghadiri segmen peringkat tinggi Majlis Hak asasi Manusia di Geneva.
“Banyak lagi platform antarabangsa yang kita gunakan. Saya hadir di sidang kemuncak pergerakan negara-negara berkecuali di Kampala, Uganda menyuarakan pandangan itu. Kemudian, di masyarakat tergempar mengenai Palestine di Jeddah pada 5 Mac 2024 yang lalu.
“Alhamdulillah, melalui satu resolusi yang telah diluluskan semasa sesi kecemasan khas ke-10 di Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei tahun ini, bahawa resolusi itu telah disokong oleh 143 puan negara menyokong, 9 menentang dan 25 berkecuali,” katanya. – UMNO Online