Lawatan PM Ke Kyrgyzstan, Kazakhstan Dan Uzbekistan Bawa Manfaat Besar Kepada Negara
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan membawa manfaat besar kepada negara dalam kerjasama bidang-bidang yang berpotensi.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ia menyaksikan pelbagai cadangan, perbincangan dua hala telah diadakan sebagai mengeratkan hubungan dengan negara-negara tersebut yang kaya dengan sumber-sumber semula jadi.
“Banyak potensi kerana negara ini kaya dengan hasil galian. Kyrgyzstan mempunyai deposit bahan galian yang amat banyak seperti galian emas, biji timah dan yang lain-lain. Di Kazakhstan dan Uzbekistan ada petroleum, minyak dan juga gas.
“Saya bersama Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Menteri Pelancongan, Menteri Pelajaran, Menteri Pengajian Tinggi dengan rakan sejawat masing-masing bersama untuk mencungkil lebih banyak lagi perkara boleh dilakukan untuk kita meningkatkan hubungan dua hala.
“Ahli-ahli perdagangan kita perlu aktif pergi ke sana meskipun ada yang telah ada banyak yang datang tetapi mereka tidak mahu terdedah sangat dengan satu pihak sahaja. Mereka menjemput ahli-ahli perniagaan khususnya ada kemahiran dan kemampuan untuk menjadi sebagai syarikat yang boleh menerokai bidang bahan galian yang amat banyak jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad dalam pada itu turut berkata Malaysia dan ketiga-tiga negara tersebut mempunyai hubungan yang baik dalam pelaburan dan perdagangan.
Ahli Parlimen Rembau itu turut berkata ia juga dilihat sebagai permulaan baik untuk meneroka negara Asia Tengah yang lain.
“Pelaburan dan perdagangan kita dengan Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan ini semuanya menyebelahi kepada kita. Kita banyak mengeksport barangan ke negara-negara ini dan mereka juga mengimport banyak barang-barang kita.
“Kalau nak dilihat secara keseluruhannya boleh kita jadikan sebagai pintu untuk menerokai kawasan yang lebih besar lagi di kawasan Asia Tengah, termasuklah Turkmenistan, Tajikistan dan yang lain-lain.
“Mereka telah ada hubungan blok dengan China, Rusia, Kesatuan Eropah (EU) macam-macam lagi dan kita sedang meneliti, rakan sejawat saya akan datang juga minggu depan untuk melihat dengan lebih dekat lagi bagaimana usaha untuk kita meneroka lebih banyak lagi,” ujar beliau. – UMNO Online