Kesetiaan Amat Mahal… Bukan Sekadar Ungkapan Semata-Mata – Rosnah

PAPAR, 27 Jun – Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melihat kesetiaan cukup mahal dan ia bukan sekadar ungkapan semata-mata.

Sebaliknya ujar Exco Wanita UMNO Malaysia itu, ia perlu ditanam dalam setiap diri ahli serta seluruh pimpinan UMNO dalam usaha memastikan perjuangan parti terus bersinar.

Bagi beliau UMNO Sabah khususnya menerima dugaan yang amat kuat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang lalu setelah tumbang Barisan Nasional (BN) menerajui negara dan negeri berkenaan apabila pimpinan pelbagai peringkat mengambil keputusan untuk berhijrah.

“Kesetiaan itu mahal. Kesetiaan adalah satu perkara yang tidak boleh dijual begitu sahaja. Dan saya kira selain daripada kesetiaan, apa yang penting adalah kesediaan kita untuk mempertahankan UMNO di negeri Sabah.

“Banyak tohmahan dilontarkan dan disuarakan kepada kita antaranya UMNO parti Malaya dan sebagainya lagi. Namun perlu diingat tanpa Malaya, tidak ada Malaysia. Tanpa Sabah, tidak ada Malaysia. Tanpa Sarawak, tidak ada Malaysia dan begitu juga dengan negeri-negeri lain yang salin memainkan peranan antara satu sama lain,” katanya kepada UMNO Online.

Bidasnya, pihak yang melemparkan tuduhan sebegitu sebenarnya adalah tindakan yang memakan diri sendiri.

“Jadi dengan mengatakan seperti itu sebenarnya adalah sesuatu yang saya kira akan memakan diri mereka sendiri. Bukankah mereka juga berasal daripada UMNO. Jadi itu pada saya satu tindakan yang akan memakan diri.

“Sejarah membuktikan UMNO dan BN memerintah negeri Sabah cukup baik dan perjuangan kita di Sabah ini dipimpin oleh orang-orang Sabah,” katanya.

Kata beliau lagi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, rakyat Sabah sudah cukup matang dan cukup bijak untuk menilai malah tidak dapat dinafikan sejarah telah membuktikan UMNO dan BN merupakan parti yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Dalam pada itu beliau turut melihat akar umbi adalah aset penting parti dan gabungan antara pimpinan serta akar umbi pelbagai peringkat sudah pasti akan menguatkan lagi UMNO dalam berdepan cabaran serta dugaan.

“Kalau pemimpin itu memimpin, akar umbi yang memberi kekuatan kepada UMNO secara keseluruhan. Jika tanpa mereka ini, tanpa kehadiran mereka ini sudah tentu UMNO tidak akan wujud pun di negeri Sabah.

“Itu yang kita ingin perlihatkan, itu yang ingin kita pertahankan dan itu yang ingin kita kekalkan. Sebagai ahli, mereka bukan ahli yang sekadar ahli tetapi mereka juga boleh memainkan peranan yang besar untuk melihat UMNO kembali lagi sebagai peneraju utama di negeri Sabah, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.