Bersatu Hati Laksana Gerak Kerja Bersepadu – Suhaimi

BELURAN, 27 Jun – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menaruh harapan agar akar umbi parti bersatu hati dalam melaksanakan gerak kerja bersepadu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut beliau, PRN ini sangat penting kepada hala tuju parti UMNO demi meneruskan perjuangan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita sudah menghampiri untuk berhadapan dengan PRN ke-17, justeru itu saya berharap kepada ketua bahagian dan kepimpinan bahagian yang lain jangan lagi bertelagah. Perjuangan tetap diteruskan kalau kita mahu UMNO Sabah ini menjadi tunjang kepada negeri pada masa akan datang.

“Saya juga menyeru kepada UMNO bahagian Beluran ini kalau boleh jangan lagi ada sikap yang cuba nak berlawan-lawan kerana jika parti sekarang ini tidak menjadi tunjang dalam kerajaan negeri kita bukan ada apa-apa lagi. Hidup mati parti kita di negeri Sabah ini ditentukan pada PRN ke-17,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Beluran, yang diadakan baru-baru ini.

Suhaimi yang juga ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Libaran dalam masa sama melahirkan penghargaan kepada Penerangan UMNO Malaysia yang menganjurkan siri jelajah ini.

Menurut beliau program seumpama ini memberikan pendedahan kepada akar umbi parti bagi mendepani isu-isu semasa merangkumi di peringkat nasional dan negeri.

Sementara itu, beliau juga mengharapkan akar umbi di setiap bahagian untuk memanfaatkan penggunaan media sosial bagi berkongsi aspirasi parti kepada rakyat di kawasan.

“Penerangan UMNO Malaysia ini memberikan kesempatan tunjuk ajar, saya akan memantau media sosial dan media cetak.

“Tahniah kepada Pergerakan Penerangan Pemuda saya tengok ada satu konten yang dikeluarkan di TikTok cukup viral pada hari ini yang sudah mencecah 15 ribu tanda suka, justeru itu saya galakkan akar umbi untuk membuat perkara yang sama bukan saja di Beluran,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.