Bantuan Kanak-Kanak Melalui Saringan PGK, Disalur Kepada Golongan Memerlukan

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Bantuan Kanak-kanak (BKK) disalurkan secara bersasar berdasarkan saringan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan keluarga di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) mendapat perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Binti Ahmad berkata ini bagi memastikan bantuan yang disampaikan adalah kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Semasa pengumuman Belanjawan Negara 2021, kerajaan telah menaikkan kadar bantuan bulanan skim BKK. Kanak-kanak berusia di bawah tujuh tahun layak menerima RM200 seorang, manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas layak menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

“Untuk pertama kalinya juga kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 kepada RM1,000 sekeluarga sebagai usaha untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Sebanyak RM318 juta BKK telah diagihkan pada tahun 2023 kepada seramai 62,066 kes penerima kanak-kanak,” katanya.

Noraini berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN- Paya Besar) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam pada itu berkata cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkaitan pelaksanaan elaun penjagaan kanak-kanak memerlukan penelitian yang rapi bagi melihat kesesuaian kedudukan fiskal kerajaan.

“Walaubagaimanapun kerajaan menyambut baik cadangan ini dan akan terus meneliti kesesuaian pelaksanaannya seiring dengan program-program bersedia ada,” ujar beliau.

Menyentuh berkenaan memperkasakan wanita dalam bidang ekonomi, beliau berkata Dasar Keusahawanan Nasional merupakan strategi jangka panjang negara dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang tahun 2030.

Menurut Noraini, susulan itu pada tahun 2023 kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Keusahawanan Wanita bertujuan untuk menyokong pembangunan keusahawanan wanita dalam pelbagai kategori penjagaan termasuk sektor tidak formal.

“Jawatankuasa ini sebenarnya dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi terdiri daripada wakil-wakil kepada kementerian yang berkaitan agensi koperasi dan juga badan bukan kerajaan wanita.

“Usaha memperkasakan ekonomi wanita di bawah KPWKM secara khusus antaranya adalah di bawah Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita iaitu meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi termasuk dalam industri kemahiran tinggi seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik serta bidang baru seperti teknologi hijau dan tenaga.”

Tambah beliau lagi KPWKM melalui agensinya Jabatan Pembangunan Wanita pula melaksanakan program pembangunan dan latihan keusahawanan merangkumi program-program advokasi penjanaan pendapatan ekonomi dan kemahiran serta literasi kewangan bagi golongan wanita.

“Inisiatif lain yang dilaksanakan adalah program di bawah Yayasan Kebajikan Negara iaitu program MyKasih Kapital, Bantuan Asas Muda Peniagaan yang diberikan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita meniaga secara kecil-kecilan.

“Lebih banyak usaha berterusan insya-Allah akan dilaksanakan oleh KPWKM bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan dalam menyokong penglibatan wanita secara produktif dalam ekonomi, yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.