Ahmad Maslan Tegaskan Di Bawah Kerajaan Perpaduan, Islam Tidak Terancam

NIBONG TEBAL, 27 Jun – Di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan telah terbukti bahawa agama Islam tidak terancam kerana semua fahaman diberi hak yang bersesuaian, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, perkara tersebut telah menjadi bukti kepada rakyat dan ia tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh Perikatan Nasional (PN).

“Saya telah sembahyang di Sungai Kechil. Saya lihat sebuah masjid sedang dibina dan tidak lama lagi siap. Dua hari lepas, saya sembahyang di Sungai Bakap.

“Setelah dipecah tanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dibina masjid baharu. Siapa kata Islam terancam di Pulau Pinang?”

“Pada hari ini, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, semua agama diberikan hak yang sesuai dan Islam tidak akan terancam di negeri Pulau Pinang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Ceramah Perpaduan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Duri, pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau mengharapkan agar semua jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terus giat mencari undi bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

“Semoga jentera UMNO/BN dan PH terus mencari undi. Kita bergerak merah dan biru bersama-sama dari rumah ke rumah sehingga malam 5 Julai ini.

“Balik beramai-ramai kepada yang ingin mengundi. Jangan lupa undi calon nombor satu dari Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin. Seorang yang sangat dihormat, disanjungi dan banyak jasanya kepada rakyat di Sungai Bakap ini.

“Pastikan kita dapat merampas semula DUN Sungai Bakap ini ke pangkuan Kerajaan Perpaduan. Maka sama-samalah kita menantikan kemenangan itu,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit