Terus Beri Pandangan, Gunakan Ruang Sebaiknya Bantu Parti Melakar Kejayaan

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Suara dan pandangan ahli parti pada mesyuarat peringkat bahagian termasuk Wanita dan Pemuda serta Puteri UMNO yang bermula pada Sabtu lalu di seluruh negara tentunya akan diambil perhatian dan tumpuan oleh peringkat tertinggi parti dalam usaha memastikan UMNO terus bergerak ke depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap perwakilan yang hadir dapat menggunakan saluran berkenaan sebaiknya dengan memberikan pandangan yang bernas untuk kukuhkan lagi parti.

Menurut beliau badai dan gelora yang melanda parti tentunya menuntut kepada kerjasama serta muafakat yang sebaiknya daripada ahli parti serta seluruh pimpinan untuk bergabung dalam satu pemikiran dan satu gerak kerja yang berterusan.

“Jangan jadikan mesyuarat bahagian nanti termasuklah peringkat Wanita, Pemuda serta Puteri bahagian sekadar untuk memenuhi Perlembagaan sebaliknya kita sama-sama mencari jalan dan mencari kaedah sebaiknya membantu parti terus mendapat kepercayaan masyarakat.

“Perjuangkan apa yang sewajarnya dan buktikan kepada masyarakat umum bahawa UMNO ini amat dekat dengan mereka… terus berjuang nasib dan agenda orang-rang Melayu tanpa kita pinggirkan masyarakat lain seluruhnya.

“Inilah UMNO… inilah parti yang sentiasa ke depan membela nasib rakyat dan kita insya-Allah sama-sama dalam satu saf dan dalam satu landasan bagi menjayakan matlamat perjuangan suci UMNO dulu, kini dan selamaanya,” katanya kepada UMNO-Online.

Sharkar seterusnya berpandangan apa yang utama masing-masing perlu bertekad dan menjadikan mesyuarat berkenaan sebagai salah satu medium yang amat penting kerana suara yang diutarakan akan diangkat ke peringkat seterusnya.

“Inilah UMNO… sebuah parti yang cukup berstruktur dengan pimpinan mendengar serta memberi peluang kepada ahli parti menyuarakan pandangan mereka menerusi saluran yang sebetulnya dan mesyuarat bahagian antara medium yang disediakan.

“Justeru manfaatkanlah sebaiknya. Selamat bersidang kepada para perwakilan UMNO bahagian, Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO seluruh negara. Semoga perjuangan kita semua diberkati Allah swt,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit