PRK Sungai Bakap: Puteri UMNO Giat Bantu Calon, Tingkat Undian Anak Muda

NIBONG TEBAL, 26 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang sedang giat membantu calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap terutamanya dari segi meningkatkan undian anak muda terhadap Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO telah dimulakan sebelum proses penamaan calon yang berlangsung pada 22 Jun lalu.

“Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang sebenarnya telah memulakan gerak kerja sebelum proses penamaan calon lagi. Ini termasuk dari segi kita menjejak ahli yang mengundi di Sungai Bakap khususnya orang muda berusia 40 tahun ke bawah.

“Saya lihat sekarang ini pun mereka sedang giat masuk ke kampung-kampung dan juga rumah-rumah untuk mengenal pasti serta mencari seramai mungkin pengundi kalangan Puteri UMNO di Sungai Bakap.

“Saya juga telah bersama dengan jentera Puteri Negeri Pulau Pinang, melawat beberapa buah rumah pengundi muda yang kita laksanakan pada Selasa malam dan juga Rabu. Kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan pada PRK kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, calon Kerajaan Perpaduan yang diwakili oleh Dr Joohari Ariffin dan lebih mesra disapa dengan panggil Cikgu Jo ini merupakan seorang individu berkebolehan serta senang didekati.

“Pertamanya, Dr Joohari ini apabila kita lihat dari segi latar belakangnya, beliau merupakan orang yang sangat hebat dari segi pendidikan dan juga ilmu keagamaannya. Beliau juga sangat senang didekati dan merupakan anak jati Sungai Bakap ini.

“Saya rasa inilah pilihan terbaik untuk orang Sungai Bakap kerana kita mahukan seorang wakil rakyat yang senang didekati demi memastikan suara para pengundi di Sungai Bakap ini dapat didengari.

“Semestinya harapan saya supaya Cikgu Jo atau Dr Joohari berjaya menang pada PRK kali ini. Insya-Allah,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan 6 Julai pengundian biasa.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.