PRK Sg Bakap: Jangan Salah Pilih… Pastikan Selari Kerajaan Perpaduan Demi Kemajuan

NIBONG TEBAL, 26 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan jentera parti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap untuk terus meraih sokongan rakyat melalui penerangan tepat bagi memilih pemimpin selari dengan negeri dan pusat iaitu Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, ini adalah amat penting bagi memastikan para pengundi tidak tersalah pilih dan pentingnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seiring dengan ahli Parlimen dan kerajaan pusat.

“Jangan salah pilih, pilih yang betul, pilih yang senang nak buat kerja sebab yang inilah yang akan bantu rakyat nanti selepas habis PRK.

“Memandangkan Parlimen di sini adalah dari Kerajaan Perpaduan, begitu juga kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan pusat, maka pilihlah yang betul-betul… boleh bantu rakyat secara terus.

“ADUN ini kerjanya di kawasan tempatan maka inilah orang yang akan jadi jambatan antara rakyat dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan bantuan. Jika tak selari maka bagaimana bantuan boleh disalurkan… tak adalah peruntukan untuk dan pembangunan,” katanya.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata demikian dalam ucapan sempena Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Nibong Tebal, di sini, malam tadi.

Jelas Azalina, PRK ini adalah untuk bantu rakyat bagi menyambung kehidupan di kawasan ini.

“Kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat sangat penting untuk bawa kemajuan kepada rakyat.

“PRK ini adalah untuk mencari ADUN kerana pemimpin yang menang adalah menjadi pengikat kepada kerajaan, inilah wakil suara rakyat untuk bawa kepada ahli Parlimen dan bawa kepada atas bagi mendapat bantuan dan peruntukan.”

Turut hadir dalam program jelajah tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan penceramah ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom.

Dilaporkan, DUN Sungai Bakap berdepan PRK susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan pengundian biasa pada 6 Julai.

Kerajaan Perpaduan melalui parti Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Dr Joohari Ariffin, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara sebagai calon dalam PRK tersebut.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit