PRK Sg Bakap: Jangan Pilih Bersandarkan Sentimen… Nilai Misi Dan Visi Calon

BUKIT GANTANG, 26 Jun – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menasihati golongan muda di Sungai Bakap agar jangan mengundi berdasarkan sentimen.

Serunya, mereka yang akan mengundi pada 6 Julai nanti sewajarnya memilih calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berintegriti, berkaliber, mempunyai misi dan visi dalam membangunkan kawasan yang diwakili.

“Bagi anak muda generasi kini, kita tidak boleh menjadi pengundi yang terikut dengan sentimen semata-mata. Kita harus bijak menilai bagaimana pemilihan pemimpin dibuat.

“Pertama, pemimpin harus mempunyai visi yang baik. Kedua, latar belakang yang baik. Ketiga, mempunyai misi yang hendak dibawa di kawasan tersebut.

“Bukan sekadar pemimpin yang menjadi ikut-ikutan tetapi akhirnya jika menang diberi alasan yang sama “kami tiada peruntukan… ‘nothing can be done’”,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Sollehin, Kerajaan Perpaduan telah mengetengahkan Dr Joohari Ariffin, calon yang cukup dikenali masyarakat setempat atas khidmat baktinya sebagai seorang pendidik dan mempunyai kualiti sebagai seorang wakil rakyat.

“Calon yang diketengahkan oleh PKR juga calon yang dikenali, latar belakang pendidikan yang sangat baik, bukan calon tangkap muat. Kalau calon Perikatan Nasional (PN) asal letak sahaja tetapi akhirnya kualiti tiada.

“Hari ini kita mahu rakyat Sungai Bakap menilai bahawa sentimen tidak mampu membawa apa perubahan tetapi pemimpin yang berkualiti mampu membawa perubahan dan mengembalikan kerajaan dan rakyat berada atas landasan pembangunan yang lebih baik,” katanya.

Seterusnya ulas Sollehin, pengundi di Sungai Bakap perlu juga melihat rekod perkhidmatan wakil-wakil rakyat daripada UMNO dan Kerajaan Perpaduan yang terbukti melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun satu ketika waktu pernah bergelar pembangkang.

“Mereka perlu melihat trek rekod pemimpin-pemimpin di bawah Kerajaan Perpaduan dan seperti Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh (ADUN Merlimau), Yang Berhormat Helmy (Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem – ADUN Duyong) yang terbukti buat kerja.

“Bagi saya jika rakyat Sungai Bakap hendak tengok pemimpin buat kerja, calon daripada Kerajaan Perpaduan yang merupakan calon yang patut dipilih oleh rakyat,” ujar Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu lagi.

Tambah Sollehin, rakyat boleh melihat bagaimana kepimpinan negeri jiran yang hanya tahu membuat pengumuman sesebuah projek pembangunan tetapi tidak mampu dilaksanakan, bahkan selalu menyalahkan pihak lain atas kegagalan mereka.

“Kita boleh macam di Kedah… sebelum pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini hendak buat litar lumba, lapangan terbang, ‘project rare earth’ yang entah ke mana… akhirnya ia cuma jadi satu pengumuman yang tak tahu ke mana hala tuju hendak dibawa.

“Rakyat di Pulau Pinang harus bijak menilai bahawasanya kita tidak mahu pemimpin yang suka melagakan orang, suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan retorik… akhirnya yang rugi adalah rakyat.

“Bagi saya yang lebih penting pada hari ini kita hendak memilih pemimpin yang ada integriti, buat apa yang dicakap. kita dah tengok Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor) hari-hari, lama-lama orang tengok macam kartun. Hari ini cakap begini, esok salahkan orang lain, salahkan kerajaan pusat… semua orang salah, dia sahaja yang paling betul,” bidasnya sambil menyifatkan orang yang suka mencari kesalahan orang lain dan menimbulkan masalah adalah orang yang bermasalah.

Berhubung dengan gerak kerja Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sollehin berkata koalisi, keserasian dan kesepaduan bersama jentera Pemuda Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat sejak beberapa siri PRK sebelum ini.

DUN Sungai Bakap berdepan PRK susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff (PN) pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Kerajaan Perpaduan melalui parti PH/PKR menampilkan Dr Joohari bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara sebagai calon dalam PRK tersebut. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit