Jelajah Penerangan UMNO: Kerja Keras, Kembalikan Kegemilangan Parti

NIBONG TEBAL, 26 Jun – Semua pihak di peringkat kepimpinan dan akar umbi perlu memainkan peranan sebaiknya dalam memperkukuhkan gerak kerja untuk mengembalikan kecemerlangan UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semua pejuang parti perlu mempunyai kesedaran mengenai kedudukan terkini UMNO dalam arus politik negara.

“Tuan-tuan, apa yang kita persiapkan untuk esok hari? Apa yang telah kita persiapkan untuk kemudian? …untuk UMNO pada masa akan datang, khususnya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

“Selepas PRU ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri… sebab ada enam negeri yang tidak mengadakan pilihan raya secara serentak pada PRU ke-15 yang lalu. Negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Tetapi selepas PRU ke-15 dan tidak termasuk PRN… yang pertama sekali kita kena sedar. Dulu waktu pilihan raya tidak kiralah yang pertama sampai ke-13, tiap-tiap habis pilihan raya ahli-ahli Parlimen ini datang daripada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di UMNO Bahagian Nibong Tebal pada Selasa.

Menurutnya, hasil daripada kedua-dua pilihan raya tersebut UMNO berjaya mengekalkan takhta hanya di tiga buah negeri sahaja.

“Tetapi pasca PRU ke-15 dan PRN di enam buah negeri, UMNO menerajui di tiga buah negeri sahaja. Sebab saya nak tumbuhkan satu kesedaran. Saya nak tumbuhkan satu perkara dalam kita bahawa UMNO bukan lagi macam dulu. Kita bukan lagi sebagaimana zaman dulu.

“Menteri Besar kita pertamanya daripada Perak diikuti Pahang, Melaka dan Johor. Empat buah negeri ini sahaja yang Menteri Besar dan Ketua Menteri datang daripada UMNO.

“Di Melaka kita melalui satu PRN yang berasingan. Kita berkampung 14 hari untuk menggerakkan PRN di Melaka, kemudian pula di Johor. Ini pasca PRU ke-15,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan para pemimpin dan ahli parti untuk berusaha bersungguh-sungguh agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan.

“Gambaran ini saya sengaja bawakan untuk dapat kita memikirkan bagaimana kedudukan hari ini. Kita membincangkan soal zaman kita menang banyak.

“Kita juga nak kena sedar. Sama ada kita sedar ataupun tak sedar tujuh buah negeri yang UMNO tidak ada ahli Parlimennya, langsung tidak ada. Sekarang ini, ahli Parlimen UMNO dah tinggal 26.

“Sebab ini saya nak tekankan, kita perlu ada satu kesedaran untuk kita memahami bagaimana langkah kita nak menuju. Maka, perkuatkanlah gerak kerja kita agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan,” katanya lagi.

Penerangan UMNO Malaysia meneruskan siri jelajahnya ke Bahagian Nibong Tebal dengan dihadiri lebih 200 ahli akar umbi tempatan.

Program tersebut dihadiri oleh Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Ketua Penerangan UMNO merangkap Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang memberikan penjelasan berkaitan hala tuju gerak kerja masa hadapan jentera parti.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob dan seluruh kepimpinan empat peringkat UMNO Bahagian Nibong Tebal. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit