UMNO Mampu Rampas Kembali Kerusi Yang Terlepas Ke Pembangkang

BUKIT GANTANG, 25 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata UMNO mampu merampas kembali kerusi yang dimenangi pihak pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Katanya, setiap jentera parti perlu berusaha keras bermula sekarang dan syarat utama dalam memastikan kemenangan adalah mesti bersatu padu serta tidak boleh berpecah-belah.

“Syaratnya kita tidak boleh berpecah, tidak boleh berpisah, tidak boleh antara satu sama lain keluar daripada garisan pegang teguh prinsip perjuangan parti dan jangan berpecah-belah.

“Kita sayang kepada parti, kelak kita akan serah parti ini kepada generasi akan datang. Kita yang bekerja bertungkus-lumus untuk menangkan parti. Kita tidak mengharapkan pujian dan juga sanjungan daripada sesiapa pun, yang kita harapkan balasan daripada Allah,” kata Jamil Khir yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai.

Jamil Khir berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir tiga ratus ahli akar umbi parti dalam Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gantang, di dewan UMNO bahagian di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang Mohamad Sollehin Mohd Tajie serta barisan kepimpinan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Jelas Jamil Khir, khususnya ia merujuk kepada kerusi Parlimen Bukit Gantang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut dan begitu juga di kawasannya sendiri di Parlimen Jerai, Kedah dan tiga DUN di dalamnya yang menyaksikan UMNO/Barisan Nasional (BN) serta rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan kalah kesemuanya.

Untuk rekod, di dalam Parlimen Bukit Gantang terdapat DUN Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong manakala Parlimen Jerai pula DUN Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun.

Mengulas lanjut, beliau memberi peringatan kepada semua pemimpin dan ahli parti untuk berusaha bersungguh-sungguh agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan.

“Kita juga nak kena sedar. Sama ada kita sedar ataupun tak sedar tujuh buah negeri yang UMNO tidak ada ahli Parlimennya. Sekarang ini, ahli Parlimen UMNO dah tinggal 26. Daripada yang 26 tinggal ini, tujuh buah negeri yang tidak punya seorang pun ahli Parlimen (UMNO).

“Sebab ini saya nak tekankan, kita perlu ada satu kesedaran untuk kita memahami bagaimana langkah kita nak menuju. Maka, perkuatkanlah gerak kerja kita agar zaman kegemilangan UMNO dapat dikembalikan,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Jamil Khir juga menyentuh mengenai rentetan peristiwa bagaimana penglibatan UMNO dan BN dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November 2022 setelah Perikatan Nasional (PN) ingkar titah Yang di-Pertuan Agong.

UMNO Bahagian Bukit Gantang merupakan lokasi kedua Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia bagi Negeri Perak dan terdahulu ia diadakan di UMNO Bahagian Tapah pada bulan lalu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.