PRK Sungai Bakap: Ahmad Maslan Seru Rakyat Beri Peluang… Pilih Calon Berkebolehan

NIBONG TEBAL, 25 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru rakyat di Sungai Bakap untuk memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan dengan memilih calon yang diketengahkan pada hari pengundian 6 Julai nanti.

Jelasnya, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini, gerak kerja seluruh jentera diperkemaskan untuk membantu Dr Joohari Ariffin calon Kerajaan Perpaduan dari parti PKR yang bertanding.

“Kita memperkemaskan jentera, menambah kekuatan mereka dengan memanggil bahagian-bahagian dalam Negeri Pulau Pinang dan jentera negeri-negeri berjiran untuk membantu di PRK Sungai Bakap.

“Sebelum ini UMNO telah membantu di Pulai dan Simpang Jeram untuk calon parti Amanah daripada Pakatan Harapan (PH). Kemudian kita membantu di Kuala Kubu Bharu untuk calon perpaduan daripada Dap.

“Kali ini kita membantu di Sungai Bakap, calon Kerajaan Perpaduan dari PKR. Mereka juga pernah membantu kita. Mereka membantu kita di Tioman, Pelangai dan Kemaman. Kita menang dua, kita kalah satu. Selepas ini mungkin ada lagi siri-siri PRK yang lain,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengharapkan agar jentera bergerak dengan lebih agresif dan mengambil inisiatif untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi di kawasan tersebut.

“Ini semangat dalam Kerajaan Perpaduan, Malaysia Madani. Kita saling bantu-membantu antara satu sama lain dan saya berharap selaku Pengerusi War Room yang telah dilantik oleh MKT untuk PRK Sungai Bakap… kali keempat saya berada di sini untuk kita betul-betul membantu jentera turun ke bawah menemui seberapa ramai pengundi.

“Ini dilakukan agar kita boleh memenangkan Dr Joohari Ariffin selaku calon perpaduan PH di Sungai Bakap. Mudah sahaja. Jika kita inginkan sesuatu, lebih mudah kita berurusan dengan kerajaan daripada pembangkang. Kalau kita nak minta surat sokongan, tentulah lebih mudah kita mendapatkan apa yang kita harapkan itu daripada wakil kerajaan.

“Dr Joohari Ariffin, yang merupakan anak tempatan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, kemudian menjadi guru di kawasan Sungai Bakap diikuti pensyarah di kawasan Sungai Bakap… beliau juga ada rumah tak jauh dari Sungai Bakap. Kita ada pemimpin yang berkebolehan ini, maka kita berilah peluang kepada beliau,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan Dr Joohari, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun lalu hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.