Peluang Terbaik Rampas Kerusi DUN Sungai Bakap – Imran Tamrin

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap merupakan peluang terbaik kerajaan merampas kembali kawasan tersebut.

Jelasnya, pada 6 Julai depan rakyat perlu memilih calon Kerajaan Perpaduan agar segala perancangan kerajaan negeri dan pusat dapat dilaksanakan dan seterusnya memberi manfaat kepada mereka.

“PRK Sungai Bakap ini sedikit berbeza dengan PRK Kuala Kubu Bharu baru-baru ini kerana di Kuala Kubu Bharu Pemuda UMNO Selangor berkerjasama untuk mempertahankan kerusi Kerajaan Perpaduan. Namun untuk PRK Sungai Bakap akan diperlihatkan dengan lebih jelas untuk merampas kerusi DUN ini dari Perikatan Nasional (PN).

“Ada sedikit kelebihan khususnya pada rakyat dan pengundi-pengundi di DUN Sungai Bakap untuk membuat satu keputusan yang tuntas untuk berikan peluang pada calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan dan perancangan kerajaan negeri agar setiap perancangan itu dapat memberikan manfaat pada rakyat.

“Pentingnya kerusi DUN Sungai Bakap ini untuk pastikan dapat merampas dan menambah bilangan kerusi komposisi DUN Kerajaan Perpaduan sekaligus dapat menyelesaikan segala permasalahan yang membelenggu rakyat Sungai Bakap,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan PN Abidin Ismail.

PH mempertaruhkan Joohari, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun lalu hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit